Berita Utama

Tiada campur tangan politik dalam siasatan SPRM

Sebarang campur tangan hanya jejas fungsi, nama baik SPRM

KUALA LUMPUR, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tiada campur tangan politik dalam kes rasuah yang dikendalikan agensi penguatkuasaan itu termasuk dalam kes berprofil tinggi.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki menegaskan intergriti dan nama baik SPRM dalam menjalankan fungsinya akan terjejas sekiranya wujud campur tangan pihak tertentu.

Beliau menjelaskan dalam usaha membina negara bangsa, campur tangan politik dalam tugas badan penguat kuasa di negara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya pastikan tiada campur tangan (politik) dan belum ada pengalaman begitu dalam kerja-kerja kami. Sebarang campur tangan akan menjejaskan kerja kami dan kami akan menjadi satu pasukan tidak amanah dan sudah tentu akan menjejaskan nama baik kerajaan itu sendiri…ini tidak berlaku pada zaman kita.

Beliau berkata demikian sebagai panel jemputan dalam program Soal Rakyat TV3 yang mengupas topik ‘Kartel Projek Merugikan Rakyat’ di sini.

Katanya, pada zaman ledakan teknologi maklumat kini, pendedahan maklumat begitu telus dan masyarakat sering memerhatikan sebarang tindak tanduk pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa kerajaan supaya disegerakan penggunaan kamera badan bagi pegawai dan anggota penguat kuasa dalam usaha membendung jenayah rasuah selain memelihara integriti anggota penguat kuasa.

“Saya rasa sudah sampai masanya penguat kuasa memakai kamera badan yang boleh disambungkan kepada sistem berpusat, jadi kurang rasanya kalau mereka mahu bertindak di luar batasan sebagai penguat kuasa ketika menjalankan operasi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata proses perbincangan berkenaan perolehan kamera badan dan peralatan renjatan elektrik kini di peringkat akhir.

Tahun lepas, PDRM memaklumkan telah memohon sebanyak 1,300 kamera badan dan 1,000 senjata baharu tidak membawa maut atau ‘non lethal weapon’ menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, pada tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button