Berita Utama

Adil ciri penting negara kebajikan bermasyarakat majmuk

Ia hapuskan sifat melampau dalam politik, ekonomi dan sosial

BANGI, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Konsep adil kepada semua adalah ciri terpenting bagi negara berkebajikan berteraskan akidah yang menghapuskan sifat melampau dalam segala aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adil merupakan salah satu ciri terpenting kepada negara berkebajikan yang bermasyarakat majmuk.

“Allah SWT tetap berlaku adil terhadap hamba-Nya yang baik dan jahat, sama ada mereka yang beriman atau tidak.

“Semua dalam kalangan mereka diberikan talian hayat, iaitu diberikan peluang untuk insaf dan bertaubat sehingga akhir hayat dan menerima pembalasannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Abdul Hadi berkata, adil menjadi ciri takwa yang membina sifat integriti.

Katanya, kejayaan tamadun Islam bermula dengan pembangunan insan – manusia – yang berintegriti dengan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, akhirnya mampu memerintah negara yang mempunyai masyarakat paling majmuk pada zaman itu.

“Negara Islam yang menjadi kuasa besar juga tumbang kerana meninggalkan ajaran Islam yang sempurna. Berbeza dengan tamadun terdahulu sebelumnya yang jatuh kerana jahiliah.

“Tamadun Barat hari ini sedang merudum, walaupun mereka telah mencapai kemajuan sains dan teknologi yang diciplak daripada tamadun Islam. Akan tetapi, mereka gagal dalam pembangunan insan setelah meninggalkan aspek agama dan akhlak, dengan mengikut acuan sekularisme,” katanya.

Selain itu katanya, terdapat negara yang dimusnahkan kerana berlakunya kezaliman, bahkan berlakunya keruntuhan moral, salah laku dan sebagainya.

“Semua perkara itu berlaku berpunca daripada tidak beriman dan budiman, sehingga ilmu dan kebijaksanaannya digunakan untuk menipu rakyat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana bersama menyokongnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button