Berita Utama

Bekas ketua perisik lepas tanpa bebas tuduhan pecah amanah RM50.4 juta

Timbalan Pendakwa Raya memohon untuk tidak teruskan kes

KUALA LUMPUR, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Ketua Pengarah Organsasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Ab Hamid, daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa, pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah.

“Timbalan pendakwa raya menyatakan bahawa tertuduh (Hasanah), akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang. Timbalan Pendakwa Raya juga telah menjelaskan mengenai kewujudan penemuan-penemuan baharu.

“Dalam keadaan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh. Oleh yang demikian, mahkamah dengan ini memberi perintah agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” kata hakim itu.

Hakim Ahmad Shahrir juga berkata, apabila pendakwa raya menjalankan kuasa-kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, adalah menjadi kewajipan mahkamah berdasarkan Seksyen 254(3) kanun sama, untuk mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan.

“Ini ialah kuasa budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang. Hakikatnya, mahkamah tidak boleh menggesa pendakwa raya untuk tetap meneruskan kes terhadap tertuduh, jika pendakwa raya menarik balik pertuduhan tersebut. Inilah kedudukan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah berkata, pihaknya tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada 6 Oktober tahun lepas dengan 10 saksi pendakwaan telah memberi keterangan, antaranya Pegawai Siasatan di Bahagian Forensik Teknologi Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Badri Azni, dan Penolong Penguasa SPRM Muhammad Nizhar Kadir.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara dengan memanggil saksi-saksi terlindung untuk memberi keterangan.

Namun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah pada hari ini (12 April) hingga 16 April, bagi mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup, kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button