Berita Utama

Isu audio: Elak difitnah, ISMA nasihat Zahid, Anwar buat lapor polis

Audio tular bukan jenayah, Anwar cuba normalisasi jajaran UMNO, PKR?

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Kenyataan Ketua Polis Negara yang menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuat laporan polis berhubung rakaman perbualan audio yang didakwa mirip mereka adalah wajar.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perkara berkenaan penting bagi membersihkan nama kedua-dua ahli politik itu sekiranya mereka difitnah.

“Perkara itu juga bagi menenangkan hati ahli-ahli UMNO dan pemerhati politik yang lain,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini. 

Terdahulu, polis menasihatkan Ahmad Zahidi dan Anwar membuat laporan polis berhubung rakaman perbualan audio telefon yang didakwa mirip mereka yang tular di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan daripada kedua-dua individu berkenaan selain siasatan akan dilakukan sekiranya perkara tersebut mengganggu-gugat keamanan orang ramai. 

“Setakat ini saya tidak dimaklumkan lagi, laporan belum dibuat lagi. Kita tunggulah, kalau betul beliau (Ahmad Zahid dan Anwar) difitnah, demi kebaikan, buatlah laporan. 

“Kita lihat daripada tempoh reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sampai satu tahap ia menimbulkan kebimbangan dan kegusaran semua, kita akan jalankan siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi mendakwa, Anwar seperti cuba menormalisasikan jajaran UMNO dan PKR dengan menggambarkan bahawa tiada sebarang isu yang perlu digusarkan kerana audio berkenaan bukan suatu jenayah. 

“Ini dilihat sebagai harapan sebenar Anwar pada UMNO,” dakwanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, UMNO mempunyai banyak cara untuk kembali berkuasa dan tidak perlu bergantung kepada Anwar.

Bahkan, katanya, sekiranya jajaran baharu antara UMNO dan PKR berlaku, UMNO adalah parti paling rugi.

Hal ini kerana, katanya lagi, PKR dan DAP adalah parti dominan dalam jajaran berkenaan. 

“Adalah lebih baik pimpinan UMNO melakukan congak dengan betul dan mengambil pandangan akar umbi sebaiknya. 

“Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button