Berita Utama

Jadikan Ramadan ini titik mula landskap politik bersih

Tempoh darurat wajar untuk lawan COVID-19, pacu ekonomi

BANGI, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kehadiran Ramadan menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang bersih, beradab dan berintegriti.

Sehubungan itu, baginda menasihati ahli-ahli politik negara untuk merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, ahli-ahli politik perlu menjadi ‘role model’ kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik, menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menasihati ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Kenyataan itu berkata, baginda turut menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan akan terus dipelihara.

Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi menerusi inisiatif kerajaan, termasuk program imunisasi kebangsaan.

“Bersempena ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan amalan soleh.

“Umat Islam di Malaysia turut diseru mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhuwwah sesama insan,” katanya.

Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan, baginda bertitah supaya penganjuran majlis-majlis diseluruh negara sepanjang Ramadan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati umat Islam, khususnya petugas di barisan hadapan, supaya tabah menjalani ibadah berpuasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

“Umat Islam negara ini turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi SOP,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button