Pendapat

Merisaukan! Hanya 10 peratus warga emas daftar vaksin

Pemimpin tempatan perlu turun padang bantu beri kesedaran

RISIKO mendapat jangkitan COVID-19 dan komplikasinya akan menjadi semakin teruk dengan peningkatan usia. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), warga emas adalah golongan yang paling berisiko.

Menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, Sebanyak 21 buah kluster membabitkan pusat jagaan warga tua dikesan setakat ini dengan 19 daripadanya adalah dalam gelombang ketiga pandemik COVID-19 yang melanda negara pada bulan Oktober tahun lalu. Lebih membimbangkan, kadar kematian yang membabitkan kluster jagaan warga emas lebih tinggi dengan nilai 1.48 peratus berbanding kadar kematian kebangsaan yang merekodkan 0.38 peratus.

Walaubagaimanapun, agak menyedihkan apabila akhbar melaporkan hanya 10 peratus warga emas di negeri Selangor mendaftar sebagai penerima vaksin. Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, faktor itu disebabkan golongan itu tidak mempunyai akses kepada aplikasi MySejahtera, kekangan internet selain tidak mengetahui cara pendaftaran secara digital.

Pengalaman peribadi bersama warga emas, rata-rata antara mereka takut untuk mendapatkan vaksin tersebut kerana khuatir akan komplikasinya terhadap tubuh badan dan status kesihatan mereka. Kekhuatiran ini ada asasnya kerana sesetengah daripada warga emas yang mempunyai akses terhadap berita dari negara luar mungkin terpengaruh dengan khabar separuh masak atau penyimpangan fakta yang dikongsikan media yang tidak bertanggungawab yang mengaitkan dengan kematian beberapa warga emas setelah mendapat vaksin COVID-19, walhal kematian tersebut langsung tidak mempunyai kaitan terhadap kematian warga emas tersebut.

Menurut kajian, data menunjukkan gejala ringan kurang berlaku terhadap warga emas namun masih dilaporkan selepas mendapat dos yang kedua. Walaubagaimanapun, kesan sampingan ini adalah minimal dan dalam tempoh yang singkat. Yang pasti buat warga emas, mendapat vaksin jauh lebih beruntung daripada mendapat jangkitan COVID-19.

Kaedah pujukan psikologi anak-anak kepada warga emas

Anak-anak kepada warga emas yang mempunyai akses terhadap maklumat berkaitan program vaksinasi ini perlu lebih cakna dan peduli untuk mendaftarkan ibu bapa mereka. Mereka perlu memujuk dan menerangkan maklumat yang betul kepada ibu bapa mereka supaya mereka sedar akan kepentingan program vaksinasi ini kepada mereka.

Walaupun kedengaran agak kasar, tetapi memujuk (dalam nada berseloroh) dengan mengatakan ‘tiada raya bersama emak atau ayah sekiranya belum mendapatkan vaksin’, atau ‘percutian keluarga nanti ibu atau ayah tidak boleh turut serta’ boleh dijadikan modal untuk meminta secara psikologi agar mereka sedar akan kepentingan mendapatkan vaksin.

Buat pihak media dan penganjur kesedaran sama ada dari pihak kerajaan atau sebaliknya, mereka perlu juga memfokuskan bahan kempen mereka kepada anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang tergolong dalam kategori warga emas – agar mereka ingat dan sedar akan tanggungjawab mereka untuk melindungi ibu bapa mereka.

Permudahkan kaedah pendaftaran, ambil kira kawasan tiada liputan internet

Mungkin ramai dalam kalangan mereka yang belum mengetahui bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memperkenalkan dua cara terbaru kepada orang awam untuk mendaftar pengambilan vaksin COVID-19, selain kaedah sedia ada iaitu melalui aplikasi MySejahtera.

Orang awam kini boleh mendaftar menerusi laman web JKJAV yang tersedia dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan disertakan beberapa informasi berhubung vaksinasi tersebut. Selain itu, mereka juga boleh menelefon talian 1800-888-828 bagi pendaftaran.

Kaedah konvensional dan manual seperti pemberian borang juga boleh digunakan untuk mendaftar warga emas yang mungkin tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian internet. Kaedah ini boleh disalurkan melalui klinik-klinik kesihatan kerajaan atau klinik bergerak memandangkan mereka adalah penghubung masyarakat ini terhadap akses perkhidmatan kesihatan.

Peranan pemimpin dan NGO

Pemimpin-pemimpin tempatan seperti Ahli Parlimen setiap kawasan perlu turun padang untuk memastikan badan berautoriti seperti majlis pengurusan komuniti, pejabat-pejabat daerah, jawatankuasa rukun tetangga, majlis perwakilan penduduk, masjid dan surau serta yang senada dengannya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti promosi dan kesedaran kepada masyarakat terutama sekali warga emas untuk mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Mungkin kita agak skeptik dengan isu ‘potong barisan’ untuk mendapatkan vaksin dalam kalangan pemimpin terutama sekali ahli politik beberapa ketika yang lalu, namun dari aspek positifnya, sebenarnya kita dapat melihat tindakan ahli politik tersebut juga sebenarnya memberikan persepsi yang positif terhadap warga emas – iaitu dengan menunjukkan kepada mereka bahawa vaksin tersebut sebenarnya selamat. Namun diharapkan imej dan persepsi itu terjaga dengan tidak membawa ahli keluarga dan staf terdekat mereka untuk ‘potong barisan’ sekali.

Peranan yang besar juga boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan turut bersama berkempen untuk merancakkan kesedaran warga emas untuk mendaftar. Mereka boleh membantu pihak kementerian dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran melalui kerjasama dengan pihak yang berautoriti.

Kita berharap fasa kedua dari April-Ogos yang melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU) akan mendapat sambutan dan liputan vaksinasi yang maksimum agar golongan ini terlindung daripada bahaya wabak COVID-19.

Mohammed Rasheedan bin Ellin
Wakil Sektor Jururawat, I-Medik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button