Berita UtamaDunia

Taliban tahan 18 kakitangan NGO, warga Amerika didakwa sebar ajaran Kristian

Dokumen, audio tunjukkan orang ramai dijemput sertai agama Kristian

KABUL, 1 Rabiulawal 1445H, Ahad – Pihak berkuasa Taliban Afghanistan menahan 18 kakitangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk seorang wanita Amerika, atas tuduhan terlibat dalam kerja mubaligh Kristian di negara itu.

“Dokumen dan audio diperoleh menunjukkan mereka menjemput orang ramai untuk menyertai agama Kristian,” kata jurucakap kerajaan untuk wilayah itu Abdul Wahid Hamas Ghori, merujuk kepada kakitangan NGO yang berdaftar di Switzerland.

Beliau berkata, pasukan keselamatan dan perisikan telah memerhati kumpulan tersebut sejak sekian lama.

Misi Bantuan Antarabangsa (IAM) mengesahkan kakitangannya ditahan dua kali bulan ini dari pejabat NGO itu di wilayah Ghor, Afghanistan dan dibawa ke ibu negara Kabul.

Dalam satu kenyataan IAM memaklumkan bahawa 18 orang, termasuk ‘warga asing,’ telah ditahan bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu.

“Sekiranya sebarang pertuduhan dikemukakan terhadap organisasi kami atau mana-mana anggota, kami akan menyemak berdasarkan bukti yang dikemukakan,” kata IAM.

NGO itu mendakwa, pertubuhannya tidak memberikan bantuan mengikut fahaman politik atau agama. 

“Kami menghargai dan menghormati adat dan budaya tempatan,” katanya.

IAM telah beroperasi di Afghanistan sejak 1966, fokus dalam bidang penjagaan mata, kesihatan dan pendidikan.

Mereka kehilangan sepuluh pegawai perubatan, termasuk lapan warga asing, dalam serangan di Afghanistan utara terpencil pada 2010.

Pemimpin Taliban mengaku bertanggungjawab ketika itu, mendakwa para medik adalah mubaligh Kristian dan menuduh mereka bekerja sebagai pengintip tentera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button