Dunia

Taufan Seroja: Angka korban kini 177 orang, 45 masih hilang

Beberapa kampung terpencil terputus hubungan darat

JAKARTA, 30 Syaaban 1442H, Isnin – Angka kematian akibat taufan tropika Seroja di Nusa Tenggara Timur Indonesia meningkat kepada 177 orang, di mana 45 yang lain dilaporkan masih hilang.

Beberapa perkampungan terpencil juga terputus hubungan berikutan runtuhan lereng batu yang menghalang laluan darat, menurut pegawai tempatan. 

“Beberapa kampung terputus hubungan termasuk di daerah Kupang. Kita akan kerahkan helikopter dan feri menghantar bantuan ke daerah-daerah ini,” kata wakil gabenor, Josef Nae Soi dalam sidang media bersama Badan Pengurusan Bencana Nasional. 

Kematian membabitkan taufan di wilayah itu sebahagian besarnya dilaporkan berlaku di daerah Flores Timur (72 orang), Lembata (47 orang), Alor (28 orang) dan enam orang di Kupang. 

Menurut Soi, mangsa yang terjejas telah dipindahkan di kawasan perumahan sewa bagi mencegah penyebaran wabak COVID-19 di pusat pemindahan. 

Badan Meteorologi, Klimatologi fan Geofisika berkata, cuaca ekstrem seperti hujan lebat, angin kencang dan gelombang laut yang tinggi hingga enam meter terjadi setelah taufan Seroja berpusing di Laut Savu, selatan Nusa Tenggara Timur.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button