Berita Utama

UMNO tak mampu menang besar perintah negara

Pernah berlaku dalam sejarah tak semua ahli beri undi kepada parti

BANGI, 30 Syaaban 1442H, Isnin – UMNO tidak mampu menang besar dan menjadi parti dominan untuk memerintah negara.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, parti itu sudah tidak mendapat sokongan besar Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, beliau berkata, UMNO yang dianggotai oleh lebih tiga juta orang itu tidak menjamin kemenangan parti itu secara mutlak.

“Pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya, ahli UMNO tidak semua memberi undi kepada UMNO/ BN (Barisan Nasional),” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Selain itu, beliau berkata, situasi politik yang ada ketika ini memperlihatkan bahawa UMNO tidak harus bertanding bersendirian.

Sarannya, Muafakat Nasional yang pada asalnya dimeterai oleh PAS dan UMNO perlu diperluaskan.

“Tiga parti Melayu iaitu UMNO-PAS-BERSATU mesti menjadi teras utama, kerjasama akan lebih menjamin kedudukan UMNO yang lebih baik dalam politik Malaysia.

“Walaupun UMNO tidak mungkin dapat bertanding di semua kerusi majoriti Melayu, tetapi kemenangan akan lebih terjamin.

“UMNO boleh bertanding di semua kerusi majoriti Melayu jika bersendirian, tetapi kemenangan akan cenderung lebih sukar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button