Berita Utama

Jauhi perbuatan cemarkan kemuliaan Ramadan

Perbanyakkan aktiviti ibadah, imarah masjid, surau

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan umat Islam menjauhi sebarang bentuk perbuatan ataupun anasir yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan.

Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, umat Islam sewajarnya memfokuskan usaha untuk memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kebenaran umat Islam di Wilayah Persekutuan untuk mengimarahkan masjid serta surau mengikut kapasiti sebenar.

“Sejajar dengan perkembangan semasa kes COVID-19 di Malaysia, maka peluang untuk menghidupkan Ramadan di masjid dan surau dalam suasana norma baharu ini mestilah disambut dengan sebaik-baiknya berdasarkan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak kerajaan.

“Bahkan, umat Islam seharusnya mengambil kesempatan ini untuk memohon pertolongan kepada Allah SWT agar keadaan di negara kita bertambah positif dan kembali kepada normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam untuk terus fokus menghidupkan bulan Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.

“Di samping itu, menjadikan keseluruhan Ramadan sebagai medium penyatuan umat terutamanya menerusi aktiviti pengimarahan yang kembali dilaksanakan di rumah-rumah Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button