Berita Utama

Kes COVID-19 belum tunjuk ‘trend’ penurunan

Setiap hari akan ada kluster-kluster baru dikenal pasti

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Kes jangkitan COVID-19 ketika ini belum menunjukkan ‘trend’ penurunan seperti yang dijangkakan.

Ini berdasarkan jumlah kes harian positif yang masih melebihi 1,000, manakala kadar kebolehjangkitan atau nilai Ro melebihi 1.0.

Justeru, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob menasihatkan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selain penguatkuasa perlu memainkan peranan sewajarnya.

“Buat masa ini ‘trend’ penurunan kes tidak konsisten. Setiap hari akan ada kluster-kluster baru dikenal pasti sama ada dari komuniti ataupun tempat kerja.

“Jadi tolonglah patuhi arahan pihak berwajib dan amalkan SOP supaya langkah pencegahan dapat diamalkan pada setiap masa,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Jumlah kes baharu COVID-19 hari ini mencatatkan 1,767 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini meningkat kepada 363,949 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sarawak mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi hari ini iaitu 607 kes.

Katanya, tiga lagi negeri turut melaporkan pertambahan kes baharu tiga angka iaitu Selangor dengan 483 kes diikuti Kuala Lumpur (132) dan Sabah (117).

Negeri lain mencatatkan pertambahan kes dua angka iaitu Pulau Pinang (92); Johor (74); Kedah (39); Perak (36); Negeri Sembilan (29); Melaka (17); Pahang (14) dan Terengganu (13).

“Dua negeri lain ialah Putrajaya dengan tujuh kes baharu serta Labuan tiga kes. Hanya Perlis tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button