Pendapat

Kesetaraan gender perangkap baru liberalisme

CEDAW alat bagi Barat kukuh cengkaman terhadap dunia

AGAK mengejutkan apabila ada gerakan Islam yang mendukung penuh konsep kesetaraan gender. Kononnya kerana ia telah diangkat menjadi kayu ukur dalam SDG. Menganggap bahawa intipati kesetaraan gender hanyalah pemerkasaan wanita. Mereka tidak sedar bahawa CEDAW merupakan suatu alat bagi Barat mengukuhkan cengkamannya terhadap dunia.

Terdapat segolongan cendekiawan yang telah menjadi jurubicara dalam memperjuangkan kesetaraan gender dalam dunia Islam, yang ingin agar ketidakseimbangan kuasa di antara lelaki dan manita dihapuskan. Mereka tidak sedar bahawa perkara ini boleh membawa kepada penyingkiran Shariah dalam kehidupan muslim dan juga sebenarnya mengarah kepada keruntuhan institusi keluarga.

Golongan feminis melihat bahawa kepimpinan lelaki dalam rumah tangga merupakan suatu ketidakadilan. Kerana itu tidak boleh ada dominasi tetapi sebaliknya mestilah kuasa yang sama rata di antara lelaki dan perempuan. Fokus yang sepatutnya diarahkan kepada bagaimana membina keluarga yang harmoni, bahagia dengan setiap pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik, dengan saling melengkapi dan saling membantu, sebaliknya menjadi medan untuk memperebutkan kuasa, siapa atau tiada siapa yang sepatutnya menjadi ketua rumah tangga.

Golongan feminis bertitik tolak daripada andaian bahawa terdapat perbezaan antara sex (jantina) dengan gender. Jantina sesuatu yang semula jadi, sedangkan gender tidak, ia adalah socially imposed kepada jantina tertentu. Kerana itu peranan dan tanggungjawab lelaki dan perempuan adalah produk budaya. Mereka juga mangatakan bahawa equality adalah matlamat dan equity adalah wasilah, oleh yang demikian mesti diwujudkan kesaksamaan. Mesti disamakan, tidak boleh ada kelebihan bagi lelaki.

Ketika orang Islam mengikut cara berfikir seperti ini tidak secara langsung mereka juga bersetuju bahawa oleh kerana gender adalah social contruct (ciptaan masyarakat), dan kerananya tidak mengikat, boleh jadi seseorang itu berjantina lelaki tetapi memiliki gender perempuan, maka ‘kesilapan’ ini dapat diperbetulkan dengan menukar jantinanya kerana merasa dirinya tidak sesuai dengan jantina yang dimilikinya.

Ketika Malaysia berada di tempat ke-104 dalam indeks jurang perbezaan gender, berbanding New Zealand (6) dan Singapura (54), kerana itu Malaysia dilihat perlu merapatkan jurang perbezaan gender, mąką jelas bahawa kayu ukur Barat ini ternyata memerangkap dunia Islam untuk mengikuti acuan Barat dalam konsep gender. Selagi perempuan tidak menyamai jumlah lelaki dalam membuat keputusan pada semua peringkat maka kesetaraan dan pemerkasaan wanita belum mencapai matlamatnya.

Golongan ini juga merombak ayat-ayat al-Quran yang menegaskan kedudukan lelaki yang lebih tinggi berbanding wanita. Istilah Qawamah hanya ditafsirkan sebagai melindungi, membela, menjaga, memelihara, tidak lagi bermakna memimpin dan menjadi ketua rumah tangga. Ketaatan isteri kepada suami menjadi tidak relevan lagi walaupun di dałam Shariah Islam ia adalah suatu kewajipan.

Gerakan Islam ini memilih slogan wanita progresif. Mereka menjadikan CEDAW dan pemerkasaan wanita sebagai agenda mereka dan secara tidak langsung rela menjadi agen liberalisme Barat bagi memperjuangkan gender equality (kesetaraan gender) di dunia Islam. Malang sekali apabila konsep keadilan di dalam al-Quran kononnya dijadikan sandaran akan tetapi dalam masa yang sama kerangka sekular dan liberal dalam gender equality diperjuangkan.

Untuk makluman sejak tahun 1995 Malaysia yang telah menandatangani perjanjian CEDAW dengan beberapa reservasi, atas alasan bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak bersesuaian dengan hukum Syara’. Namun sehingga kini Malaysia terus ditekan agar menerima keseluruhan tuntutan CEDAW. Kalau Malaysia tidak menerima dan tidak mengamalkannya ini bermakna Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap kaum wanita.

Dalam Islam keadilan tidak sama dengan kesamarataan. Oleh kerana lelaki dan wanita mempunyai fitrah yang berbeza maka Islam menetapkan peranan dan tanggungjawab yang juga berbeza. Sebaliknya egalitarianisme menolak wujudnya perbezaan ini dan ingin agar keduanya disamaratakan. Menyamakan dua perkara yang berbeza adalah suatu kezaliman, sama dengan membezakan dua perkara yang sama.

Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris
Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button