Berita Utama

Melayu jangan tertipu gaya DAP tarik sokongan

Pimpinan DAP seperti Hannah Yeoh, Tony Pua lebih rasis

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Respon Hannah Yeoh dan Tony Pua terhadap kenyataan Ronnie Liu Tian Khiew ‘supaya DAP tidak mencairkan kecinaannya untuk meraih sokongan Melayu’, perlu dipandang lebih serius.

Terdahulu, Ronnie – Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan – dalam satu program di Klang memaklumkan, parti itu tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.

Dakwanya, DAP perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina.

Bagaimanapun, kenyataan itu ditempelak Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh dengan menyifatkan kenyataan Ronnie sebagai satu pemikiran toksik dan sempit kerana DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia.

Tegasnya, kenyataan itu bukan seperti DAP yang disertai beliau selama ini.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damanasara pula menyifatkan Ronnie sebagai ‘cauvinis Cina yang tidak diperlukan parti’.

Ketua Pemuda BERJASA Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, pemimpin-pemimpin DAP itu dilihat cuba mengelak dan menyembunyikan kerakusan mereka.

Terutama dalam mencari sokongan dan undi Melayu melalui kecairan identiti mereka dalam meraikan masyarakat Malaysia yang majmuk, khususnya orang Melayu dan Islam, katanya.

“Mereka adalah lebih rasis kerana melindungi perjuangan melalui gaya yang sangat sukar dibaca oleh masyarakat khusunya orang Melayu Islam. Kita tak boleh tertipu. 

“Ini terbukti ketika Hannah Yeoh menang di Kerusi DUN Subang Jaya. Beliau meraih sokongan penuh masyarakat Cina dan majoriti Melayu. 

“Istilah Umar Abdul Aziz, dipakaikan pula orang Melayu kepada pimpinan DAP Cina yang proaktif dan mesra Melayu. Istilah kafir yang adil lebih mulia dari muslim yang korup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sokongan berterusan daripada masyarakat Cina dan Melayu terhadap Hannah Yeoh di Subang Jaya dan Segambut, akhirnya meletakkan dia pada posisi yang sebenarnya mereka idamkan-idamkan iaitu sebahagian daripada Ahli Parlimen dan sempat menyandang Jawatan Timbalan Menteri Wanita.

“Dengan cara itulah kerusi-kerusi Parlimen hilang dari tangan MP Melayu dan DAP menguasai majoriti dalam Pakatan Harapan (PH). 

“Mereka sangat kuat dan lantang sehingga ketika PH memerintah kita lihat seolah-olah DAP yang mendominasi keputusan kerajaan,” katanya.

Berikutan senario itu, Ustaz Fahmi menegaskan bahawa sebahagian daripada impiannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah dengan ‘membuang’ DAP dari Parlimen.

“Kita akan sekat penambahan kerusi Parlimen DAP, dan PRU akan datang kita pastikan DAP tiada di Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button