Berita Utama

MRT3: Kementerian diminta buka peluang pada kontraktor Bumiputera

Utamakan penggunaan produk tempatan dalam pelaksanaan projek

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad mengutarakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pengangkutan susulan keputusan meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.

Beliau mengesyorkan supaya kementerian itu membuka peluang bagi penglibatan perunding dan kontraktor tempatan, terutamanya kepada golongan Bumiputera sekurang-kurangnya sebanyak 80 peratus dan bukannya 30 peratus seperti kebiasaan sebelum ini. 

“Saya percaya bahawa golongan profesional tempatan telah mempunyai cukup pengalaman dan kelayakan untuk melaksanakan projek MRT3 setelah terlibat dengan projek-projek besar sebelum ini seperti MRT, LRT dan kereta api. 

“Di samping dapat mengurangkan kos projek, perunding tempatan juga pastinya akan lebih memahami keadaan geotechnical, kesan cuaca dan sosial budaya tempatan bagi menepati kehendak reka bentuk yang sesuai bagi tujuan kegunaan, operasi dan penyelenggaraan MRT3,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya produk tempatan yang setanding dengan produk luar negara diutamakan penggunaannya di bawah pantauan ketat MRT Corp dalam melaksanakan projek tersebut.

Katanya, ia supaya perkembangan teknologi di dalam negara sentiasa bertambah baik.

Selain itu, Idris berkata, kementerian yang diterajui Datuk Seri Wee Ka Siong itu juga diminta untuk memastikan projek ini tidak dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar sama ada dari dalam atau luar negara semata-mata. 

Tegasnya, ia hendaklah diuruskan sendiri oleh MRT Corp dan membahagikannya kepada beberapa skop sederhana dan kecil mengikut kesesuaian yang sepatutnya. 

“Ia juga bertujuan supaya lebih banyak peluang diberikan kepada perunding dan kontraktor yang berkapasiti kecil dan sederhana untuk terlibat sama tanpa menjejaskan kualiti penghasilan MRT3,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu capaian manfaat projek ini diperluaskan kepada keseluruhan rakyat Malaysia dengan memperbanyakkan reka bentuk dalaman serta hiasan stesen dan koc MRT bercirikan nilai budaya dan hasil kraf tangan tempatan.

“Besar harapan saya untuk melihat agar projek MRT3 ini dapat memberikan 1001 kebaikan kepada rakyat dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya. 

Terdahulu, kerajaan dilaporkan bersetuju meneruskan semula projek MR3 di Lembah Klang mulai pertengahan tahun ini, selepas ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu.

Projek MRT3 adalah kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2 untuk rangsangan ekonomi membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button