Berita Utama

Percepatkan fasa kedua, ketiga Imunisasi COVID-19

Buat pencegahan awal pastikan kemungkinan ancaman gelombang ketiga

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan perlu dilaksanakan dengan pantas selaras dengan fasa ketiga.

Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, fasa ketiga yang membabitkan individu berumur 18 tahun ke atas perlu dipercepatkan sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

“Mereka ini bukan warga tua, tetapi mereka yang terlibat dengan aktiviti ekonomi, yang bergerak (mobile) juga harus diberikan perhatian dan diberikan peluang untuk diberikan vaksin secepat mungkin.

“Ini merupakan salah satu langkah yang perlu kita lakukan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak berkuasa perlu melakukan pencegahan awal yang komprehensif dalam memastikan kemungkinan ancaman gelombang keempat COVID-19 dapat ditangani sebaik mungkin.

Katanya, langkah pencegahan awal yang diambil ketika ini tidak memberi kesan yang begitu positif.

“Sebenarnya dari dahulu lagi, SOP (prosedur operasi standard) yang digunakan untuk mencegah penularan itu kadang-kadang menimbulkan pelbagai kekeliruan di kalangan ahli masyarakat kerana ia berubah dari semasa ke semasa.

“Walaupun dikatakan SOP, tapi kerap kali kita lihat tidak ‘standard’, tidak ada piawaian. Ini menyebabkan rakyat menjadi keliru ditambah dengan penguatkuasaan yang tidak sekata.

“Ini menyebabkan ahli masyarakat kadang-kadang tidak lagi menghormati SOP tersebut disebabkan oleh faktor-faktor ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara mungkin akan berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 susulan peningkatan kes wabak berkenaan sejak akhir-akhir ini.

Ia berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini, yang menunjukkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught pada 12 April lalu untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.07.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button