Berita Utama

Tun M ajak semua NGO undi Pejuang

Perjuangan NGO dicapai dengan lebih mudah jika diberi suara, peranan dalam Dewan Rakyat

BANGI, 18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengajak semua pihak yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya keluar beramai-ramai mengundi Gerakan Tanah Air (GTA) – yang menggunakan logo parti Pejuang – pada 19 November ini.

Beliau berkata, melalui GTA, NGO sudah diberi peluang untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai calon dan akan menjadi wakil rakyat, bahkan berada dalam kerajaan.

Pengerusi Penaja GTA itu berkata, dengan diberi suara dan peranan dalam Dewan Rakyat dan kerajaan, perjuangan NGO akan dicapai dengan lebih mudah.

“Sehingga kini NGO tidak berkuasa melaksana matlamat atau projek mereka.

“NGO hanya dapat merayu kepada kerajaan supaya menerima perjuangan NGO dan melaksana,” katanya dalam satu kenyataan.

Penubuhan GTA yang diumumkan Dr Mahathir pada Ogos lalu dianggotai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bahkan, gerakan itu juga terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan Melayu.

Pun begitu, memandangkan penubuhan GTA belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semua komponen gerakan itu bersetuju menggunakan logo Pejuang bagi menghadapi PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button