Berita Utama

Ramadan bukan bulan kendur momentum perjuangan

Bersungguh berjuang agenda tegakkan syariat, syiar Islam

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan yang kita nanti-nantikan pada setiap tahun, bulan penuh keberkatan dan penuh ketaatan. Ahlan wa sahlan ya Ramadan. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan ini.

Ingatlah bahawa bulan Ramadanlah bulan di mana al-Quran diturunkan, iaitu risalah agung untuk manusia yang sangat berat tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita, iaitu mengamalkan dan menegakkan syariatNya itu.

Kita sering kali terlupa bahawa Ramadan mendidik kita untuk cekal dan bersemangat untuk berjuang mengajak manusia membuat kebaikan dan mencegah manusia dari segala kemungkaran. Inilah apa yang diajarkan kepada kita melalui al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan ini.

Ingatlah juga, sahabat-sahabat Rasulullah ﷺ pernah berperang pada bulan ini dengan sehelai sepinggang melawan tentera musuh yang serba lengkap. Bukan pada zaman sahabat sahaja, tetapi setiap zaman kita boleh lihat siri-siri kisah perjuangan pada bulan Ramadan.

Terbukti, Ramadan bukan sahaja bulan kesabaran semata-mata. Tetapi bulan perjuangan, di mana sifat kesabaran itu sebagai kekuatan kepada perjuangan tersebut.

Maka, bersungguh-sungguhlah berjuang dalam agenda menegakkan syariat dan syiar Islam dalam bidang masing-masing.

Bagi muslim yang berniaga, berjuanglah dalam perniagaan untuk memperkuatkan ekonomi umat. Bagi para pendidik dan ilmuan, berjuanglah dalam mendidik umat dengan visi mengembalikan zaman kegemilangan dunia Islam. Dan sebagainya.

Apatahlagi buat para aktivis masyarakat sivil Islam atau lebih dikenali sebagai NGO Islam. Negara sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman terhadap kedudukan Islam sebagai agama negara, lihat sahaja siri-siri pencabulan terhadap sistem perundangan syariah kita.

Tidak mustahil akan ada lebih banyak ancaman seumpamanya pada bulan ini, yang kebetulannya pada bulan Ramadan. Kerana kita tahu, mereka suka dan bijak mengambil kesempatan.

Oleh itu, bulan Ramadan bukan masanya untuk kita mengendurkan momentum perjuangan dengan alasan bersabar semata-mata. Tetapi jadikanlah bulan ini sebagai bulan kita lebih kuat berjuang dengan mengatur pelbagai strategi.

Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
1 Ramadan 1442H

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button