Berita UtamaDunia

Suntikan vaksin COVID-19 tak batalkan puasa

Fatwa sama dikeluarkan sejak zaman Uthmaniah

ANKARA, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Suntikan vaksin termasuk imunisasi COVID-19 ke dalam tubuh manusia tidak membatalkan ibadah puasa.

Majlis Tinggi Hal Ehwal Agama dalam satu kenyataan berkata, fatwa berkenaan adalah seperti dikeluarkan oleh Presiden Urusan Agama Turki pada tahun 2005.

Fatwa sama menyatakan, vaksin yang tidak mengandungi bahan berkhasiat atau memabukkan adalah tidak membatalkan puasa seseorang individu.

Majlis Fatwa Antarabangsa turut mengeluarkan pandangan sama hari ini.

Ketua Presiden Hal Ehwal Agama, Ali Erbas berkata, perkara itu bukan amalan terbaharu.

“Fatwa sama dikeluarkan ketika zaman Uthmaniah. Sejak tahun 1930-an, mungkin 10 fatwa mengeluarkan pendapat sama.

“Hampir semua sarjana Islam yang penting dan terkenal di negara kita (Turki) hari ini mempunyai pandangan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai disarankan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada waktu malam.

Individu yang mahu mendapatkan suntikan vaksin pada siang hari pada bulan Ramadan perlu melaksanakannya ketika mereka sedang berpuasa.

Sejak kempen vaksinasi bermula pada Januari lalu, seramai lebih 19 juta warga Turki telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan angka rasmi, lebih daripada 11.2 juta orang telah menerima dos pertama, manakala 7.6 juta lagi telah mendapat dos kedua vaksin berkenaan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button