Dunia

Suu Kyi berdepan 6 pertuduhan baharu selepas rampasan kuasa

Tuduhan paling serius mengikut undang-undang rahsia rasmi Myanmar

YANGON, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi berdepan tuduhan baharu pada Isnin, ketika tindakan keras pemerintah tentera terhadap perbezaan pendapat masih berlanjutan. 

Pemenang Anugerah Nobel berusia 75 tahun itu tidak pernah muncul di khalayak umum sejak ditahan pada awal pagi 1 Februari, ketika tentera menggulingkan kerajaan dan merampas kuasa. 

Tentera menggunakan kaedah yang semakin kejam untuk menindas gerakan protes yang meningkat terhadap pemerintahan mereka, sementara Suu Kyi menghadapi sejumlah pertuduhan jenayah yang memungkinkan dia tidak lagi boleh memegang jawatan lama. 

“Dia didakwa lagi mengikut Seksyen 25 Undang-Undang Pengurusan Bencana Alam.

“Dia berdepan enam kes pertuduhan, di mana lima di Naypyidaw dan satu di Yangon,” kata peguam, Min Min Soe setelah sidang mahkamah di Naypyidaw. 

Tuduhan paling serius yang dihadapi Suu Kyi berada di bawah undang-undang rahsia rasmi Myanmar. 

Min Soe berkata, Suu Kyi yang berada dalam tahanan rumah di Naypyidaw masih dalam keadaan sihat, namun tidak pasti sama ada dia mempunyai idea mengenai pergolakan yang terjadi di Myanmar selama dua bulan terakhir ini. 

Protes yang diadakan hampir setiap hari untuk membebaskan serta memulihkan demokrasi semakin memuncak apabila penunjuk perasaan diserang dengan peluru hidup dan bom tangan.

Lebih 700 orang awam terbunuh dalam tempoh 70 hari sejak insiden rampasan kuasa, sementara 3,000 yang lain ditangkap, menurut kumpulan pemantau.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button