Berita UtamaIstimewa

Terus bongkar, ini baru sindiket bukan tahap kartel

Perlu tumpaskan pelbagai hirarki termasuk pihak luluskan kemasukan barang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Meskipun kegiatan 19 syarikat pengedar daging sejuk beku import, termasuk yang diragui status halal terbongkar, ia dilihat masih belum sampai ke tahap kartel lagi.

Terdahulu, 36 orang suspek – 34 pengarah syarikat dan dua pengurus berusia 28 hingga 67 tahun – ditahan dalam Op Kartel yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, semua syarikat itu berkomplot dengan sebuah syarikat pengimport sah dari negara Brazil yang hanya layak mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun lalu, selain didapati sudah mengedarkan kepada 202 pelanggan menerusi bukti invois yang dirampas.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta polis Johor berhubung penangkapan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari bagaimanapun berpandangan tangkapan tersebut hanya bersifat menumpaskan di tahap sindiket.

Katanya, ia belum tahap kartel yang akan melibatkan pelbagai hirarki seperti peniaga, pemborong, pemilik kedai dan pemberi kelulusan kemasukan barang.

“Turut melibatkan pemberi kelulusan lesen perniagaan syarikat tersebut, pemberi cop pelepasan produk dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia, sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button