Berita Utama

Bekalan vaksin Malaysia dijangka lebih stabil Jun ini

Kerajaan akan pastikan bekalan tiba lebih cepat meski jumlah penghantaran rendah

PUTRAJAYA, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bekalan vaksin dijangka akan lebih stabil mulai Jun depan.

Beliau berkata, bermula tempoh itu program vaksinasi secara besar-besaran bagi penduduk negara ini akan berjalan lancar.

Katanya, buat masa ini permintaan untuk mendapatkan suntikan vaksin melebihi penawaran.

“… namun apa yang paling penting data menunjukkan Malaysia akan mempunyai cukup bekalan bagi memastikan negara mencapai sasaran 80 peratus penduduk divaksin sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha memastikan bekalan vaksin tiba dengan lebih cepat susulan jumlah penghantarannya ketika ini yang masih rendah.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan, bahawa satu daripada punca bekalan vaksin masih rendah di negara ini adalah disebabkan negara kaya membolot pasaran vaksin COVID-19.

“Sesetengah negara kaya membeli vaksin untuk rakyatnya tiga hingga lima kali ganda lebih daripada mencukupi. Banyak syarikat farmaseutikal memberi keutamaan kepada mereka (negara kaya) atas sebab yang ketara.

“Sebab itu juga negara perlu menyeimbangkan portfolio vaksin untuk kita memasukkan Pfizer, AstraZeneca dan juga daripada bukan negara Barat seperti Sinovac dari China,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button