Berita Utama

Digugur jadi calon, Annuar Musa ‘kunci mulut’ tak mahu lukakan rakan pimpinan

'Saya reda, enggan panjangkan perbezaan pendapat'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Tan Sri Annuar Musa mengambil pendirian mengunci mulut daripada mengulas mengenai isu penggugurannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau tidak mahu memanjangkan lagi perpecahan dan perbezaan pendapat, apatah lagi ketika musim kempen pilihan raya.

Justeru, beliau menegaskan untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang akan merugikan UMNO-BN, termasuk melukakan rakan pimpinan di dalam parti berkenaan.

Menurut Annuar, sekiranya pengguguran yang diputuskan oleh pucuk pimpinan adalah demi kebaikan dan kepentingan parti, maka beliau terbuka dan sedia menerima.

“Ya, kalau untuk kepentingan parti maka ahli-ahli parti kenalah reda sebab ia dilakukan untuk kebaikan parti.

“Jika keputusan menggugurkan saya adalah untuk kebaikan parti, jadi saya reda dan terima sebab perjuangan parti itu lebih penting daripada kita sendiri. 

“Mudah-mudahan dengan digugurkan saya, parti berjaya,” katanya dalam temubual Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam ini.

Ditanya mengenai tindakan beberapa pemimpin UMNO yang digugurkan bertanding atas tiket parti lain, Annuar berkata, keputusan itu bergantung pada individu terbabit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prinsipnya akan terus setia dengan UMNO-BN dan tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti lain.

“Saya merasakan rosak seorang lebih baik daripada rosak perjuangan. 

“Saya juga merasakan biarlah saya menjadi orang kecil dalam perjuangan dan bahtera yang selamat daripada cuba menjadi orang besar dan kemudian tebuk perahu dan bahtera yang tidak selamat.

“Sebab parti ini adalah untuk rakyat, untuk masyarakat bukan individu. Parti bukan tempat untuk mencari kekayaan, gelaran dan pangkat, itu pada saya, orang lain saya tidak tahu,” katanya.

Annuar tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini selepas tidam disenaraikan dalam calon Barisan Nasional (BN). 

Kerusi Parlimen Ketereh itu akan diisi oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button