Berita UtamaDunia

Kapal Turkiye bawa hospital medan untuk Gaza tiba di pelabuhan Al-Arish

20 ambulans, 15 penjana kuasa turut dibawa dalam kapal kargo BESTEKAR

KAHERAH, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Sebuah kapal bantuan membawa hospital medan Turkiye tiba di pelabuhan Al-Arish, Mesir pada hari Isnin untuk membantu penduduk Gaza, kata duta Turkiye ke Mesir, Salih Mutlu Sen.

Beliau berkata, kapal kargo BESTEKAR tersebut membawa lapan hospital medan yang lengkap termasuk bilik pembedahan dan unit rawatan rapi.

Kapal tersebut turut membawa 20 ambulans, 15 penjana kuasa dan bekalan ubatan dan juga kelengkapan perubatan.

Gabenor Sinai Utara, Mohamed Abdel Fadil Shousha dan pegawai Bulan Sabit Merah Mesir menerima kapal berkenaan.

Jumaat lalu, Turkiye mengumumkan akan menghantar sebuah kapal yang membawa hospital lapangan, ambulans, dan generator ke Mesir bagi memberikan bantuan perubatan kepada mangsa perang di Gaza berikutan serangan rejim pengganas Zionis yang berterusan sehingga melumpuhkan sistem kesihatan di wilayah terkepung itu.

Menurut Bulan Sabit Merah Mesir, setakat 10 November lalu, Turkiye telah menghantar 204.6 tan bantuan perubatan ke Gaza melalui Lapangan Terbang Al-Arish.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Turkiye, Fahrettin Koca bersetuju dengan rakan sejawatnya di Mesir, Khaled Abdel Gaffar untuk memindahkan hampir 1,000 pesakit kanser melalui pintu masuk Rafah ke Mesir.

Mesir juga menerima kumpulan pertama pesakit, yang terdiri daripada 12 kanak-kanak, pada Khamis lalu.

Menurut kenyataan terkini, lebih 90 peratus kemudahan perubatan di Gaza kini lumpuh dan tidak mampu beroperasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button