Berita UtamaDunia

Dilanda gelombang ke-3? Mesir sambut Ramadan secara normal

Setakat ini 211,307 kes COVID-19 dicatatkan, dengan 12,487 kematian

KAHERAH, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Rakyat Mesir menyambut permulaan bulan suci Ramadan dalam keadaan normal, walaupun ada kebimbangan mengenai peningkatan kes coronavirus dan kemungkinan gelombang ketiga.

Tahun lalu, kafe dan restoran hanya dibuka untuk pesanan dibawa pulang, sementara masjid ditutup dan pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam.

Tahun ini, restoran beroperasi semula dan masjid dibuka untuk solat dengan syarat penjarakan sosial serta kebersihan mesti dipatuhi.

Menjelang awal Ramadan semalam, penduduk – kebanyakkan tidak memakai pelitup muka – memenuhi jalan dan pasar di ibu kota Kaherah, membeli tanglung Ramadan berwarna-warni serta manisan.

Setakat ini, Mesir mengesahkan 211,307 kes coronavirus, termasuk 12,487 kematian.

Jangkitan COVID-19 yang disahkan oleh kerajaan telah meningkat dalam beberapa minggu belakangan ini – lebih 800 kes harian menjelang bulan Ramadan.

Pegawai kerajaan menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah kemungkinan jangkitan ketiga.

Pakar berkata, jumlah rasmi kemungkinan hanya mencerminkan sebilangan kecil kes COVID-19 di Mesir kerana ujian yang agak terhad dan tidak memasukkan keputusan ujian persendirian.

Kerajaan melancarkan kempen vaksinasi, bagaimanapun mendapat bekalan terhad vaksin Sinopharm dari China dan vaksin AstraZeneca melalui fasiliti COVAX. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button