Berita Utama

Mengapa Kor Ming beria nak bawa masuk pakar perumahan Singapura?

Keselamatan negara tak patut dikompromi apatah lagi alasan diberikan menteri umpama bodohkan rakyat

BANGI, 1 Rejab 1444H, Isnin – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempertikaikan keputusan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ini kerana, pihaknya bimbang penglibatan agensi Singapura itu bukan sahaja meliputi penglibatan dalam soal perancangan perumahan tetapi juga diberi akses kepada maklumat sensitif kerajaan negara berkaitan demografi.

Beliau menegaskan, keputusan itu boleh menjadi suatu pencabulan yang jelas ke atas kedaulatan dan keselamatan Malaysia.

Tegasnya, bagi sebuah negara merdeka, soal kedaulatan dan keselamatan negara tidak harus dikompromi walau dengan apa jua alasan lebih-lebih lagi jika alasan yang diberikan langsung tidak masuk akal dan dilihat sebagai usaha untuk memperbodohkan rakyat.

“Soalnya apa istimewa HDB Singapura hingga Menteri DAP KPKT beria benar nak bawa masuk ke Malaysia? Dah pupus ke pakar-pakar perancangan bandar tempatan? Atau ada udang di sebalik batu untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura?

“Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar. Apakah tindak-tanduk Menteri DAP KPKT ini mendapat restu Anwar Ibrahim? Atau adakah Anwar gagal memantau isu sensitif begini?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, beliau bimbang sekiranya ada ‘grand design’ politik yang besar di sebalik usaha berkenaan.

“Kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang.

“Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana. Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat rumah atau projek pembangunan, khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya.

“Sekilas ikan di air, kita sudah boleh tahu jantan betinanya apa agenda sebenar kerajaan yang dikuasai DAP ini,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/01/18/kor-ming-tiada-wawasan-hingga-sanggup-terima-pakar-dari-singapura/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button