Berita Utama

Kerajaan masih ada ruang fiskal perkenal suntikan baharu: Badan pemikir

Jalan keluar penguncupan disebabkan pandemik dengan laksana langkah dasar pengembangan fiskal

KUALA LUMPUR, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Kerajaan masih memiliki ruang fiskal untuk memperkenalkan suntikan baharu yang besar seperti ditunjukkan oleh Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) baru-baru ini, yang sebahagian besarnya akan memperluas langkah sedia ada, menurut badan pemikir, Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA).

Penyelidiknya, Jaideep Singh berkata jalan keluar daripada penguncupan disebabkan pandemik adalah dengan melaksanakan langkah dasar pengembangan fiskal yang lebih langsung dan strategik.

Beliau berkata usaha itu dilakukan untuk menggalakkan penggunaan serta pelaburan sektor swasta dan bukannya untuk membuat dakwaan tidak berasas mengenai situasi fiskal kerajaan.

“Sekarang bukanlah waktu untuk mewujudkan kebimbangan yang tidak perlu. Kita sudah boleh menjangkakan peningkatan hasil kerajaan melangkaui unjuran Belanjawan 2021, dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada lebih US$60 setong hari ini daripada US$42 setong yang diandaikan semasa merangka belanjawan itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 1.02 peratus kepada US$64.32 setong.

Jaideep berkata cara mudah untuk meneliti kedudukan fiskal kerajaan secara konteks adalah menilai keseimbangan fiskal keseluruhan berasaskan perbezaan di antara hasil dengan perbelanjaan kerajaan sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Betul, langkah rangsangan telah mendorong perbelanjaan lebih tinggi dalam keadaan asas hasil yang lebih rendah, dengan jangkaan keseimbangan fiskal berada pada 6.0 peratus daripada KDNK pada 2020 dan berpotensi meningkat kepada 6.5 peratus tahun ini berbanding 3.4 peratus pada 2019, menurut dan mengekstrapolasi daripada Prospek Ekonomi 2021,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button