Berita Utama

Mana tindakan terhadap penceroboh kebun haram Musang King?

Kertas siasatan SPRM dibuka dari tahun lepas, tapi sehingga kini tiada perkembangan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyambut baik tindakan Pejabat Hutan Daerah Raub, Pahang melaksanakan tindakan drastik terhadap pekebun haram di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras.

Pejabat Hutan Daerah Raub, sebelum ini dilaporkan telah memusnahkan sebanyak 5,300 pokok pisang, durian Musang King dan Duri Hitam yang ditanam secara haram di atas tanah seluas kira-kira 16.2 hektar di kawasan itu.

Naib Pengerusi PEMBELA, Mohd Nor Izzat Johari berkata, susulan tindakan itu, pihaknya turut menyarankan kepada Pejabat Hutan Daerah Raub serta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mengambil tindakan kepada individu yang menceroboh hutan-hutan lain di negeri itu. 

“Tindakan tegas wajar diambil kerana ada di kalangan mereka degil dan cuba mengubah persepsi kononnya mereka menjadi mangsa kekejaman kerajaan yang mengambil tindakan tepat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pun begitu, Nor Izzat meluahkan rasa musykil dan hairan bila mana isu membabitkan lebih 200 penceroboh hutan yang menanam durian Musang King secara haram sehingga kini tidak diambil tindakan.

“Kenapa masih tidak dihalang dan diambil tindakan perundangan? Kes dan isu yang sama, satu, terus tebang. Satu lagi, main ‘tarik tali’.

“SPRM Raub yang dikatakan sudah membuka kertas siasatan (September 2020), tetapi masih belum diambil tindakan susulan kepada isu pencerobohan Tanah Raub, Musang King, masih menjadi persoalan,” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri Pahang bertindak tegas terhadap penceroboh yang melihat diri mereka sebagai mangsa keadaan ini.

“Kerana difahamkan, masih terdapat beribu ekar tanah yang masih diceroboh dalam negeri Pahang,” katanya.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

Permohonan itu dibuat selepas kerajaan Pahang mula mengambil tindakan terhadap pekebun yang didakwa mengusahakan kebun durian secara haram di sekitar Raub pada awal Ogos sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri, selain isu pencemaran air.

Bagaimanapun, pada 5 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King untuk menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button