Berita Utama

Mukhriz akui undi PN

Pilih kurang mudarat, tak mahu undi gabungan ada UMNO

BANGI, 25 Muharam 1445H, Sabtu – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), yang berlangsung hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, keputusan ini dibuat kerana beliau tidak mahu mengundi gabungan yang mana di dalamnya terdapat parti UMNO.

Berikutan itu, beliau menyatakan secara terbuka akan membuang undinya untuk PN bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar jika memilih lawannya.

“Tapi ini tak bermakna saya pilih yang terbaik antara yang baik-baik. Antara dua pihak saya pilih yang kurang mudarat kepada negara.

“Saya pilih PN sebab saya takkan pilih mana-mana gabungan yang ada UMNO di dalamnya. Saya pilih PN sebab saya mahu undi Melayu itu disatukan. 

“Ya UMNO Melayu juga tapi saya mahu UMNO yang bersih dari rasuah,” katanya dalam video yang dimuatnaik ke laman sosial TikTok.

Meskipun Mukhriz berpendirian memilih PN kali ini, beliau berkata, masih ada banyak perkara dalam PN yang tidak dipersetujuinya. 

“Pejuang tegas antirasuah tetapi ada pemimpin PN yang dituduh merasuah.

“PN pernah berkuasa sebelum ini kerana ‘Langkah Sheraton’ yang mengkhianati mandat rakyat pada PRU14. Kerajaan PN sebelum ini menghalang demokrasi bila darurat diisytihar dan Parlimen disekat daripada membuat undi tak percaya kepada Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di peringkat negeri pula ada banyak pemimpin PN yang lebih banyak bercakap daripada buat kerja untuk rakyat.

Mereka tiada fokus kepada perancangan yang memberi manfaat kepada rakyat, kurang sifat rendah diri dan tidak menjiwai perasaan rakyat yang sebenar, katanya.

“Namun saya tetap akan mengundi PN kali ini sebab Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih teruk daripada perkara itu semua. Saya harap PN akan terbuka kepada kritikan membina daripada pengundi mereka. 

“Undi saya hanyalah satu dan mungkin tiada nilai kepada PN. Tetapi mungkin ada ramai lagi yang atas pagar sebelum ini yang memikirkan secara mendalam keadaan negara kita.

“Kami sudah imbang baik dan buruk setiap keputusan. Saya harap kita akan keluar beramai-ramai untuk mengundi PN. Kami harap PN pula tak sia-siakan undi kami. Undi kami boleh berubah bila-bila masa. Paling kurang pun peganglah pada prinsip amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button