Berita Utama

Pengawal peribadi dibelasah kerana berpuasa

Mangsa bersama seorang lagi rakan turut diacukan pistol

BANGI, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Seorang pengawal peribadi bersama rakannya dibelas dan diacukan pistol selepas enggan menuruti arahan majikan untuk tidak berpuasa, semalam.

Mangsa yang dilaporkan berusia 43 tahun bersama rakannya dibelasah dengan menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebelum itu mangsa berusia 26 tahun bersama majikannya seorang lelaki berusia 43 tahun berada di kondominium di Jalan Pinang, di sini pada 10 malam.

Menurutnya, suspek kemudian memarahi mangsa yang memaklumkan dia berpuasa sebelum menamparnya.

“Sebaik tiba di rumah suspek di Batu Nilam, Klang, mangsa dibelasah dengan rotan selain diacukan pistol oleh suspek.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan beku dan lebam pada badan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, kedua-dua mangsa sudah bekerja dengan suspek sebagai pengawal peribadi sejak tiga dan tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, suspek akan memarahi mangsa jika mengetahui pekerjanya itu berpuasa dan memaksa agar tidak meneruskannya.

“Polis kini sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button