Berita UtamaIstimewa

Tutup bazar, tiada rentas negeri di Aidilfitri solusi kekang COVID-19

'Inilah norma baharu. Kerajaan perlu tegas, rakyat patuh tanpa jemu'

BANGI, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Larangan untuk umat Islam di negara ini pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri dilihat sebagai langkah terbaik bagi membendung pandemik COVID-19 yang tatkala ini semakin membimbangkan.

Selain itu, bazar Ramadan juga perlu diarah tutup kerana rata-rata pihak tahu sukar bagi rakyat membentuk disiplin kendiri yang ketat bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam terbuka, tanpa penguatkuasaan ketat dari pihak berkuasa.

Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, ini sedikit berbeza dengan tempat awam tertutup seperti masjid yang setakat ini mampu mengawal selia SOP dengan baik untuk solat fardhu, solat Jumaat dan solat tarawih.

“Kita juga faham beban pihak RELA, polis dan tentera yang sudah sampai tahap maksimum. Mereka telah terlalu kepenatan dan kurang anggota untuk berkawal di setiap bazar Ramadan di seluruh negara.

“Justeru, langkah terbaik ialah tutup! Walaupun ini mungkin menjejaskan pendapatan para peniaga, namun jika kes semakin meningkat dan PKP penuh terpaksa diadakan semula, ekonomi yang merudum pastinya akan memberi impak jangka masa panjang yang lebih memeritkan kepada para peniaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi mengurangkan kesempitan hidup yang dialami peniaga sekiranya langkah itu diambil, Muhammad Lukman menyarankan kerajaan memberikan bantuan khas kepada mereka.

“Demi memastikan momentum ini berterusan, sebarang pergerakan merentas negeri untuk berhari raya juga perlu disekat.

“SOP ini tidak sedikit pun mengurangkan pahala dan kemeriahan Ramadan dan sambutan Syawal kita.

“Inilah yang dikatakan norma baharu. Kerajaan perlu tegas dan seluruh rakyat perlu patuh tanpa jemu!” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button