Berita Utama

Perak tidak teragak tutup bazar Ramadan jika SOP tak dipatuhi

Kerajaan terima aduan situasi tidak terkawal di bazar Ramanda

IPOH, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Kerajaaan Negeri Perak tidak akan teragak-agak untuk menutup operasi Bazar Ramadan di negeri ini sekiranya ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih berlaku sehingga mencetuskan kluster baharu COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata sejak Selasa lepas, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pelbagai pihak mengenai situasi tidak terkawal di Bazar Ramadan termasuk tiada penjarakan fizikal dan pengunjung membawa anak kecil.

“Sekiranya keadaan ini masih tidak terkawal dan kita mendapat banyak lagi aduan mengenai ketidakpatuhan SOP, kita akan pertimbangkan (menutup operasi bazar Ramadan). Kita mahu meminimumkan aduan tersebut kerana tidak mahu angka kes COVID-19 di Perak meningkat disebabkan kluster Bazar Ramadan.

Kita juga mempunyai beberapa agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata pihak penguat kuasa PBT dan polis memainkan peranan untuk memberi amaran awal terlebih dahulu sebelum kompaun dikenakan terhadap mereka yang masih berdegil.

Isnin lepas, Nolee Ashilin berkata Perak belum bercadang membatalkan Bazar Ramadan walaupun beberapa negeri sudah berbuat demikian bagi membendung penularan COVID-19 kerana kes jangkitan wabak itu di negeri ini dianggap masih terkawal.

Mengulas mengenai perpustakaan komuniti berkenaan, Nolee Ashilin berkata projek bernilai RM61,000 itu yang siap sepenuhnya Disember lepas merupakan perpustakaan mini pertama PPR di Perak dan ia akan diperluaskan di PPR lain di negeri ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button