Berita Utama

Awas! Jangan terpedaya Maybank2U palsu

Polis terima 4 laporan babit kerugian berjumlah RM22,300

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa kes membabitkan laman sesawang Maybank2U palsu yang telah digunakan untuk menipu mangsa.

Berdasarkan rekod, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan menerima empat laporan kes  dengan kerugian berjumlah RM22,300.

Dalam kes ini, beliau berkata, mangsa menerima email yang kononnya dihantar oleh pihak Maybank menyatakan akaun mereka mempunyai masalah keselamatan.

Katanya, mangsa kemudian diminta menekan pautan yang disertakan di dalam email berkenaan.

“Setelah pautan tersebut ditekan, laman sesawang yang kelihatan seperti Maybank2U akan dipaparkan. Namun tanpa disedari, ianya merupakan laman sesawang palsu.

“Mangsa kemudiannya dikehendaki mengemaskini butiran peribadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, sebaik kemaskini dibuat, mangsa akan mendapati wang dalam akaun miliknya berkurangan.

“Dalam kes yang terbaru, pautan laman sesawang palsu tersebut diperolehi oleh mangsa melalui iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui Facebook,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada sindiket penipuan terbabit.

Katanya, orang ramai mesti memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2U yang dibuka adalah sama dengan alamat sebenar.

“Dapatkan pengesahan dengan pihak bank sekiranya menerima email yang mengarahkan anda untuk mengemaskini maklumat peribadi melalui laman sesawang Maybank2U.

“Berhubung dengan CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika anda mempunyai kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki mempunyai kaitan denga penipuan (scam),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button