Berita Utama

Bazar Ramadan sesak, elok KKM tutup saja CPRC

Netizen gesa henti operasi bazar, anggap penguatkuasaan lemah

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Isu kesesakan pengunjung di bazar Ramadan terus menjadi antara polemik yang dipertikaikan banyak pihak, apatah lagi ketika kes jangkitan harian COVID-19 semakin meningkat.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar susulan menerima foto dan maklumat pengunjung bersesak di bazar Ramadan.

“Persoalannya, siapa yang main-main ni? Pengunjung? Pengurusan bazar? Pihak berkuasa tempatan? Kerajaan negeri? Kerajaan Persekutuan?

“Kalau macam ini, eloklah KKM tutup sahaja CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan). Buat mitigasi penuh dan surveillance sahaja.

“Jika tidak, membazirkan masa dan sumber sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kenyataan Dr Zainal itu turut mendapat lebih 1,700 perkongsian, yang rata-rata bersetuju dengan pandangan beliau.

“Semakin flip flop dasar yang kita gariskan ini Datuk. Setakat brush aside kata KKM dah bagi guidelines, penguatkuasaan yang lemah bagaikan melepas batok di tangga,” kata Ahmad Arieff Atan.

“Kalau kat surau dan masjid bukan main jaga SOP. Kalau bersesak macam ini, ada pula kluster bazar Ramadan,” kata Rohani Yahaya.

Pada masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang menggesa operasi bazar Ramadan dihentikan serta-merta.

“Hari itu bila kerajaan Kelantan batalkan bazar Ramadan, ramai yang kecam dan maki. Sekarang tengok apa jadi? Keputusan kerajaan negeri Kelantan adalah tepat,” tulis Mohd Zairudin.

“Mana penjarakan fizikalnya? Tutup saja bazar kalau begini jadinya. Berebut beli macam tak cukup makanan. Puasa jenis apa kat Malaysia ini?,” kata Sofwann Al-Barr.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button