Berita Utama

‘Belasah kerana puasa’ cabul hak individu dijamin Perlembagaan

Perlu tindakan tegas terhadap majikan tanpa kompromi: ISMA

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Tindakan seorang majikan membelasah dua pekerja muslim hanya kerana mereka berpuasa, disifatkan sebagai suatu penghinaan terhadap agama Islam.

Insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku kepada penganut muslim di dalam sebuah negara Islam yang berdaulat seperti Malaysia.

Kesal dengan kejadian itu, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan berkata, tindakan biadab majikan berkenaan adalah suatu bentuk pelampauan, penghinaan dan penindasan.

Bahkan, ia juga dianggap mencabul hak individu yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

“Justeru, kita menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap majikan yang terbabit supaya menjadi pengajaran kepada majikan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, polis menahan empat individu disyaki terbabit dalam kejadian membelasah dua pekerja Islam kerana berpuasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua mangsa mengalami lebam pada bahagian belakang badan.

Katanya, mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

Majikan turut mengambil pistol yang berada di pinggang salah seorang mangsa, sebelum mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Untuk mengelakkan kejadian berulang, Dr Ahmad Kamsani meminta kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menambah baik peraturan-peraturan dan akta-akta berkait dengan hak-hak pekerja, khususnya pekerja Islam, di semua sektor pekerjaan.

β€œIni supaya tidak dinafikan hak mereka untuk melaksanakan tuntutan agama serta dilayan sewenang-wenangnya oleh majikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button