Belasah pekerja kerana puasa: 4 individu direman hari ini
Kes disiasat ikut seksyen 324, 506, 298 Kanun Keseksaan

KLANG, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Polis menahan empat individu disyaki terbabit dengan kejadian memukul dua pekerja Islam kerana berpuasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.
“Semua suspek akan direman di Mahkamah Klang hari ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.
Katanya, majikan turut mengambil pistol yang berada di pinggang seorang daripada dua mangsa sebelum mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.
“Bagaimanapun, Polis Klang Selatan ingin menegaskan bahawa kes ini tidak membabitkan sebarang isu perkauman.
“Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian kaum.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang,” katanya.