Berita UtamaDunia

Halang laungan azan, negara haram Israel tutup menara masjid

Tindakan Zionis provokasi terhadap umat Islam seluruh dunia

AMMAN, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Jordan mengecam tindakan sabotaj polis Israel yang mengunci pintu di empat menara masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Kebiadaban polis negara penjajah itu dilakukan bagi menghalang umat Islam melaungkan azan ketika tibanya waktu solat.

Ketika kejadian, pegawai wakaf yang sedang bertugas mengawal masjid berkenaan enggan mematikan pembesar suara pada hari pertama bulan Ramadan.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Jordan, Daifallah Al-Fayez menyifatkan tindakan Israel itu sebagai suatu provokasi terhadap umat Islam di seluruh dunia, selain pelanggaran undang-undang antarabangsa dan status quo sejarah.

Daifallah berkata, masjid al-Aqsa adalah tempat suci umat Islam dan Jabatan Wakaf Baitulmaqdis adalah satu-satunya pihak berkuasa yang ditugaskan mengawal segala urusan di masjid berkenaan.

Sebelum ini, negara haram Israel telah banyak menandatangani perjanjian antarabangsa yang mewajibkannya menghormati tempat-tempat suci.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Islam-Kristian Baitulmaqdis, Hanna Isa berkata, tindakan kejam Israel itu telah melanggar Konvensyen Roma
1998.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggesa Israel bertanggungjawab atas tindakannya.

Selain itu, Presiden Gabungan Krisitian Nasional di Tanah Suci, Dimitri Diliani berkata, insiden itu adalah usaha untuk menghalang kebebasan beragama dengan menyerang tempat-tempat suci Islam.

“Ini juga adalah gambaran dasar rasis oleh penjajah Israel yang tidak dapat menerima sesiapa yang bukan daripada keturunan Yahudi,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button