Berita Utama

KDN keluar arahan pentadbiran berhubung penggunaan kalimah Allah

Arahan ikut perundangan sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak, Penerbitan 1984

PUTRAJAYA, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan pentadbiran berhubung penggunaan kalimah Allah dalam masa terdekat, kata menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata arahan untuk orang Islam dan bukan Islam itu akan dikeluarkan mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Akta sedia ada memberikan kuasa kepada menteri untuk keluarkan sesuatu arahan… ini yang kita akan lakukan dan ia (arahan) adalah berkaitan kalimah Allah.

“Arahan ini perlu dikeluarkan cepat supaya tidak ada masalah timbul kerana orang tetap akan buat penerbitan dan sebab itu kita perlu keluarkan arahan ,” katanya kepada pemberita selepas Program Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Hamzah berkata arahan yang akan dikeluarkan itu akan memberikan kefahaman secara jelas kepada semua pihak mengenai penggunaan kalimah Allah.

“Kita perlu lihat penggunaan kalimah Allah itu di mana dan tempat mana… kefahaman mengenainya perlu diberikan, contohnya penggunaan kalimah Allah tidak melanggar (undang-undang) jika ia untuk beri kepastian dan pemahaman,” katanya.

Beliau berkara perbincangan khusus telah diadakan dengan wakil agama Islam dan agama lain mengenai isu penggunaan kalimah Allah itu dan tindakan yang boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, arahan yang akan dikeluarkan ini akan mengambil kira Perlembagaan dan berkait rapat dengan undang-undang peringkat negeri masing-masing,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button