Berita Utama

1 lagi anggota penguatkuasa MBSA ditahan terima rasuah: SPRM

Suspek terima antara RM300 hingga RM3,500 sebulan hasil kutipan

KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Seorang lagi anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen, di Sungai Buloh, dekat sini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini, seramai empat individu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek keempat itu adalah anggota penguatkuasa MBSA dari Cawangan Sungai Buloh.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun ini ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, kemudian suspek akan membahagikan wang kutipan itu kepada tiga lagi rakan suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.

Terdahulu, media hari ini melaporkan SPRM menahan tiga pegawai penguatkuasa MBSA untuk kes yang sama.

Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button