Berita Utama

MCA bidas DAP, letak SJKC dalam risiko demi undi Melayu

Dakwa DAP berdegil mahu memasuk 6 halaman Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – MCA menyebut kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dalam satu wawancara menunjukkan DAP sehingga hari ini masih berdegil mahu memasukkan enam halaman tulisan Jawi ke dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Melalui keputusan itu juga, dakwa MCA, penuntut sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dipaksa untuk mempelajarinya.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng mendakwa, semua ini menjadi bukti demi undi Melayu, DAP tidak teragak-agak meletakkan SJKC dalam risiko.

“Anthony Loke cakap, MCA membesar-besarkan isu Jawi dari belakang. Kata-katanya menunjukkan DAP sememangnya menyokong pelaksanaan pembelajaran enam halaman Jawi ke atas pelajar SJKC, tetapi akhirnya ‘rancangan baik’ DAP ini telah digagalkan oleh MCA.

“Anthony Loke juga seolah mengakui, jika MCA berdiam diri, tidak bekerjasama dengan pertubuhan dan masyarakat Cina menentang, pembelajaran enam halaman Jawi di SJKC sudah pun dilaksanakan sekarang,” katanya seperti dipetik portal mcalantian.org, semalam.

Menurut Teik Cheng, ketika itu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teo Nie Ching, Tony Pua , Liew Chin Tong dan semua dalam DAP mempertahankan dasar pembelajaran Jawi di SJKC.

Dakwanya, masing-masing mengeluarkan hujah yang bernas memujuk masyarakat Cina menerima pembelajaran Jawi antaranya orang Cina yang mempelajari Jawi lebih seperti orang Malaysia dan hanya belajar tiga halaman bukannya perlu menguasainya melainkan jika anda genius.

Dakwanya lagi, ucapan Anthony hari ini tidak lain adalah kesinambungan kepada usaha tersebut.

“Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut melayan Dong Zong dan pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil seperti pengganas, larangan membawa telefon bimbit telah dikeluarkan semasa dia bertemu dengan 13 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil berkenaan isu pembelajaran Jawi.

“Ketika DAP menjadi pembangkang, mereka melaungkan keadilan untuk semua kaum, sehingga mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina.

“Tapi ketika mereka memerintah, bila timbul dasar PH yang tidak adil kepada masyarakat Cina, DAP akan sama ada berdiam diri atau mempertahankan keputusan kerajaan, selain menyalahkan pembangkang yang memprovokasi dan membesar-besarkan isu, terus-menerus memutihkan dasar kerajaan yang tidak adil,” dakwanya lagi.

Tegas Teik Cheng, tindakan Anthony menyalahkan MCA di atas isu pembelajaran Jawi di SJKC yang berlaku semasa PH memerintah membuktikan kesungguhan MCA mempertahankan kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, MCA tidak akan dan tidak mungkin menjadi seperti DAP, berdiam diri terhadap dasar-dasar yang menjejaskan kepentingan masyarakat Cina.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button