Berita Utama

Rentas negeri: Keputusan KKM berdasarkan fakta bukannya emosi

Data menunjukkan negara sebenarnya menghampiri gelombang ke-4 pandemik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini ‘menyentak’ emosi rata-rata rakyat, yang mengharapkan khabar gembira menanti mereka menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, Dr Adham memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan susulan situasi penularan pandemik COVID-19.

Bagaikan pahit untuk ditelan, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa dan marah mereka terhadap pengumuman itu.

Apatah lagi, mereka merasakan seperti wujud ‘double standard’ dalam setiap ketetapan yang dibuat kerajaan di antara golongan marhaen dan ‘kayangan’. 

“Tak payah cakap rentas negeri ditangguhkan, cakap saja memang tak boleh rentas negeri, VVIP saja boleh,” luah Nisa Abdullah.

“Sampai bila? VVIP, artis boleh pula. Kami ada mak bapa yang rindukan anak. Sampai bila rakyat nak berkorban, orang kayangan sedap rentas alasan bisnes,” kata Luqman Hakim.

“PKP sudah, darurat sudah, kes? Kes masih mencanak naik! Apa lagi KKM nak buat?,” soal Aryan Azrin.

Bagi aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik), Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan, keputusan yang dibuat KKM itu sememangnya sudah dijangkakan, memandangkan nilai kebolehjangkitan (Ro) COVID-19 naik kepada 1.14, dan terdapat 10 negeri dengan Ro 1.0.

Bahkan, beliau berkata, data juga menunjukkan negara sebenarnya menghampiri gelombang keempat.

“Maksudnya kadar keberjangkitan COVID-19 adalah tinggi di kebanyakan negeri. Data ini tidak memungkinkan kita untuk membenarkan rentas negeri.

“Dalam keadaan rentas negeri disekat pun nilai Ro terus meningkat. Banyak faktor yang menyumbang ke arah itu dan sudah pasti ketidakpatuhan setiap lapisan masyarakat kepada SOP antara faktor utama,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini

Meskipun memahami kekecewaan dihadapi kebanyakan rakyat, beliau berpendapat bahawa sebaiknya keputusan yang diambil KKM berdasarkan data dan fakta, bukan dengan emosi.

“Memanglah sedih tidak dapat balik ke kampung dalam jangka masa yang lama, tetapi ini lebih baik daripada jangkitan COVID-19 terus meningkat di seluruh negeri dengan keadaan perlindungan imuniti masih lagi rendah.

“Peratusan yang mendaftar untuk menerima vaksin juga masih rendah sekitar 36 peratus sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button