Berita Utama

Suspek pukul pengawal peribadi dipercayai tauke judi haram

Penahanan bongkar sindiket ‘ah long’, judi dalam talian apabila aset RM28.45 juta dirampas

KLANG, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Polis membongkar sindiket pinjaman wang tidak berlesan atau ‘ah long’ serta judi haram semalam, berikutan penahanan empat suspek berhubung insiden pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan kumpulan itu dikenal pasti selepas serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah seorang suspek di daerah ini.

Katanya, selepas tangkapan dilakukan, pihaknya menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai mata wang Dolar Amerika Syarikat (AS) serta 100 keping jongkong emas dengan berat satu kilogram sekeping.

“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Turut dirampas adalah sepucuk pistol dengan 10 biji peluru, lima telefon bimbit serta rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun dibawa ke Mahkamah Klang untuk polis mendapatkan perintah reman pagi tadi.

Arjunaidi berkata, seorang daripada suspek dikenakan reman selama tujuh hari, manakala tiga lagi direman selama lima hari.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Bagi kes di Klang Selatan, polis klasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 298 KK dan 307 KK.

“Kita juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW)1951,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga masih melakukan siasatan secara mendalam mengenai sindiket berkenaan termasuk tempoh kumpulan itu bergiat aktif.

Semalam, tular di media sosial dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button