Berita Utama

Syarikat judi lancar lagu raya promosi perkhidmatan?

Iklan berlatar belakang sambutan Aidilfitri turut guna khidmat pelakon Melayu

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis – Belum reda isu pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa, kesabaran umat Islam di negara ini diuji sekali lagi melalui iklan hari raya oleh sebuah syarikat perjudian terkenal.

Syarikat berkenaan melalui video bertemakan Hari Raya Aidilfitri mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka bagi meraih wang berganda.

Lebih mengejutkan, iklan menggunakan khidmat beberapa pelakon beragama Islam yang lengkap berbaju kurung dan Melayu, dengan berlatarbelakangkan suasana beraya di kampung.

“Apa ditunggu marilah cuba, untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya,” antara bait-bait lirik yang terdapat dalam video berdurasi 2 minit 1 saat itu.

Netizen nyata berang dan menyifatkan syarikat judi berkenaan sebagai tidak sensitif apabila menjadikan hari istimewa umat Islam sebagai ‘modal’ iklan.

Menambah amarah netizen bila mana iklan disiarkan pada ketika umat Islam baru menyambut hari ketiga Ramadan.

“Tangkap je semua yang terbabit dalam rakaman ini termasuk sekali pihak studio yang benarkan rakaman lagu,” kata Muhd Aamri.

“Penerbit, pelakon dan penyanyi kroni judi. Mereka tidak rasa mempersendakan agama Islam,” soal Hanu Man.

“Yang Melayu berlakon dalam lagu ini tak rasa bersalah ke? Puasa-puasa promote benda haram,” tulis Zulkhairi Zawawi.

Sehubungan itu, rata-rata netizen berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button