Berita Utama

Tak cukup hanya penjara, pelaku rasuah perlu dihukum mati

Makan babi jijik, tapi sapu duit tak pula jijik, sindir Ridhuan Tee

BANGI, 3 Ramadan 1442H, Khamis –  Amalan rasuah menyebabkan Malaysia masih lagi dalam kategori negara membangun, sedangkan ia sepatutnya sudah lama maju.

Bahkan, amalan itu juga yang membantutkan pembangunan berikutan banyak wang habis dan cukai tidak dapat dikutip kerana rasuah, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata, tidak mustahil kedaulatan agama, bangsa dan negara akan lenyap akibat amalan rasuah yang sering berlaku dalam kalangan penjawat awam, di mana majoritinya adalah orang Melayu.

“Acap kali saya perkatakan, antara makan rasuah dengan makan babi, lebih baik makan babi. 

“Kalau tanya mereka yang mengambil rasuah, sebut sahaja babi, jijik tengok pun tak mahu. Tetapi bila nampak duit rasuah depan mata disapunya, tidak pula dilihat sejijik babi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridhuan Tee berkata, sekurang-kurangnya makan babi adalah soal peribadi, tetapi makan rasuah boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara.

“Lihat apa yang terjadi dalam sejarah, apa yang berlaku di Palestin, Iraq dan negara-negara Islam yang lain, tanpa menafikan negara bukan Islam pun berlaku rasuah.

“Tetapi, rasuah dalam orang Islam dan negara Islam lagi menjijkkan sebab hukum agama sangat jelas,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya golongan yang terbabit rasuah dihukum gantung sampai mati, kerana tidak cukup sekadar hukuman penjara sahaja.

“Perangilah rasuah seperti mana kita memerangi dadah, musuh nombor satu negara. Persoalan, kenapa kita memerangi dadah, dadah masih berleluasa?

“Jawapannya adalah rasuah dalam dadah. Berapa ramai penguatkuasa yang ditangkap kerana rasuah dadah. 

“Apa lagi nak diharapkan kalau rasuah dalam perniagaan haram, perbuatan haram,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, gaji rendah bukan faktor menyumbang kepada rasuah dan salah guna kuasa. 

Sebaliknya, ketamakan dan kekurangan integriti serta lemah iman mendorong segelintir penjawat awam menerima rasuah.

Azam dilaporkan membuat kesimpulan itu berdasarkan trend pegawai berpangkat tinggi yang ditahan dalam pelbagai operasi penguatkuasaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button