Berita Utama

Barisan Kabinet Muhyiddin memalukan, tak kompeten

‘Menteri dan timbalan yang ada maruah, elok letak jawatan'

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Ramadan 1442H, Jumaat – Barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN) di bawah pimipinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja terlalu besar jika dibandingkan dengan populasi rakyat, bahkan lebih menyedihkan, tidak kompeten selain majoriti daripada mereka tidak efektif.

Menyifatkan Kabinet ini sebagai memalukan, Ahli Jawatankuasa Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), AD Satiman berkata, bukan suatu rahsia lagi bahawa jawatan yang pelbagai di kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijadikan sebagai alat tawar-menawar bagi memastikan sokongan Ahli Parlimen terhadapnya kekal.

“Jawatan dan amanah mentadbir negara dibahagi sesuka hati umpama milik warisan peribadi. Ini akan jadi budaya gilakan jawatan dalam kalangan Ahli Parlimen dan orang politik.

“Pokok persoalan saya mudah. Perlantikan perlu menjawab soalan ‘mengapa dia dilantik’. Adakah kerana manfaat politik atau kelayakannya?

“Jika kerana kelayakan, sudah tentu urus tadbir negara tidak seperti sekarang. Harga runcit barangan melambung masa nak raya pun menteri tak tahu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, beliau berkata, realiti kesusahan rakyat amat jauh daripada perhatian majoriti ahli politik. 

“Tindakan dan cakap-cakap mereka tidak selesaikan masalah rakyat. Walhal, baru-baru ini ada lagi lantikan Timbalan Menteri yang baharu daripada parti gabungan mereka di Sabah.

“Sebagai rakyat Malaysia, intelektual saya rasa dihina dengan tindakan sebegini,” tegasnya.

Bahkan, AD Satiman berkata, respon rakyat sememangnya amat negatif terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin ketika ini. 

“Damage done. Menteri banyak-banyak kita pun tak faham kerja apa.

“Beliau mungkin boleh ‘beli’ sokongan ahli politik seperti didakwa. Tapi beliau tak akan mampu beli undi hampir 20 juta rakyat Malaysia.

“Kepada menteri dan timbalannya yang ada maruah, elok letak jawatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button