Teman Malaysia rayu sumbangan bantu warga emas Al-Fattah
Sasar RM28,848 bantu warga emas dapatkan rawatan hospital

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Melihat sendiri kepayahan pengasas Pertubuhan Kebajikan Warga Emas (PKWE) Al-Fattah, Mohammad Azlan Abdul Rahman menanggung kos operasi pertubuhan itu, Teman Malaysia melancarkan kempen ‘Ramadan 2021 Challenge‘ bagi membantu golongan warga emas yang memerlukan.
Sebelum ini, Mohammad Azlan, 28, menggunakan pendapatannya sebagai pemandu bas persiaran bagi menampung kos operasi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah yang ditubuhkannya sejak Ogos 2018.
Pertubuhan di Semenyih itu ditubuhkan selepas beliau sering melihat gelandangan tidur di kaki lima ketika bekerja.
Bagaimanapun disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan tengah hari, sumber pendapatan Mohammad Azlan terjejas apabila beliau diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19, sekali gus memberi kesan kepada pusat jagaannya yang kini berhadapan masalah kekurangan dana.
Memikirkan tanggungjawab yang terletak di atas bahu beliau, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah itu bertukar kerjaya sebagai penghantar makanan dan berniaga ikan segar.
Setiap bulan, Mohammad Azlan akan membawa sekurang-kurangnya 10 orang penghuni untuk pemeriksaan kesihatan. Difahamkan seramai tiga penghuni perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Pada awalnya penghuni pusat jagaan itu hanya sedikit, namun selepas pihak hospital meminta bantuan Mohammad Azlan menguruskan warga emas yang tidak dituntut setelah rawatan selesai, jumlah penghuni semakin meningkat.
Pengasas Bersama Teman Malaysia, Iffah Fadhilah berkata, pada bulan Ramadan ini pihaknya berbesar hati untuk memberi khidmat kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Emas (PKWE) Al-Fattah ini.
Jelasnya, kempen yang dilancarkan Teman Malaysia untuk membantu warga emas mendapatkan rawatan di hospital serta menjalankan aktiviti yang disukai golongan berkenaan seperti pembelajaran Iqra dan al-Quran.
“Kami menyasarkan dengan pelancaran kempen ini, warga emas ini dapat ditaja selama lapan bulan, bermula dari Mei hingga Disember 2021.
“Oleh itu, saya dengan rendah diri ingin mengajak semua pihak untuk menyokong kempen kami,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Ramadan 2021 Challenge menyasarkan RM28,848 untuk menampung kos operasi pusat jagaan warga emas itu. Setakat ini, sebanyak RM1,938 dana berjaya dikumpul selepas kempen dilancarkan.