Berita Utama

GDBet333 eksploitasi agama, ajak orang Islam berjudi

Pihak berkuasa digesa segera ambil tindakan tanpa kompromi

BANGI, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – Pihak berkuasa digesa menyiasat dan bertindak segera terhadap syarikat yang mempromosikan aktiviti perjudian, menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar. 

Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi berjudul ‘GDBet333 Hari Raya’ berdurasi dua minit itu turut menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam.

Bimbang dengan perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, pihaknya membantah keras sebarang tindakan mengeksploitasi agama.

“Sangat dikesali kerana GDBet333 menggunakan iklan sambutan Hari Raya. Iklan itu menarik orang ramai di kalangan masyarakat Islam berjudi untuk bergembira kerana boleh bertaruh nasib memenangani tawaran wang daripada permainan kasino atas talian.

“Amal Sejagat membantah keras pihak yang mengeksploitasi perayaan agama terutama agama Islam untuk memancing orang ramai berjudi. 

“Kerajaan tidak boleh berkompromi dalam hal ini walaupun ia mungkin diberi lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mempromosi judi untuk mencuba nasib bagi sambutan Hari Raya seperti yang diiklankan bukan sahaja mengeskploitasi orang ramai, malah menghina agama Islam.

“Judi di negara ini sepatutnya dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Tangkap layar dari klip video yang disiarkan di YouTube

Menerusi semakan di internet, beliau berkata, GDBet333 dipaparkan beroperasi di Malaysia dan Singapura sebagai permainan kasino atas talian melalui telefon pintar dalam bentuk IOS ataupun android. 

Video iklan tersebut dilaporkan dimuat naik hampir seminggu lalu di YouTube.

Pun begitu, iklan tersebut dipercayai sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button