Berita Utama

India kini kritikal, terpaksa import vaksin COVID-19

Kes cecah 200,000, New Delhi utamakan rakyat sebelum eksport ke negara luar

NEW DELHI, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – Daripada menjadi pembekal dan menjual puluhan juta dos vaksin untuk negara luar, India kini terpaksa mengubah peranannya kepada pengimport kerana lonjakan jangkitan COVID-19 di negaranya.

India kekurangan dos vaksin apabila kes jangkitan harian mencecah 200,000 untuk pertama kalinya pada hari Khamis, serta berusaha untuk menyuntik lebih banyak penduduknya menggunakan vaksin yang dihasilkan dalam negara.

Ekoran kes-kes yang melambung tinggi dan hospital yang penuh setelah sekatan dikurangkan, negara itu secara tiba-tiba mengubah peraturan untuk membolehkannya mengimport vaksin dengan cepat, setelah sebelumnya menolak pembuat ubat asing seperti Pfizer.

India akan mengimport vaksin Sputnik V Russia mulai bulan ini untuk 125 juta penduduk.

Keadaan ini bukan hanya memberi kesan kepada India, tetapi juga memberi kesan vaksinasi di lebih 60 negara miskin, terutama di Afrika, selama berbulan-bulan.

Program COVAX, yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakatan vaksin Gavi, bertujuan untuk memperoleh akses vaksin yang adil di seluruh dunia, dan sangat bergantung pada bekalan dari India, pusat tenaga farmasi Asia.

Tetapi setakat bulan ini, India hanya mengeksport sekitar 1.2 juta dos vaksin berbanding 64 juta dos yang dihantar ke luar negara antara akhir Januari dan Mac, menurut data kementerian luar negeri.

Kementerian Luar India, yang menguruskan perjanjian vaksin dengan negara lain memaklumkan bahawa permintaan dari India sendiri akan menentukan tahap eksport. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button