Berita Utama

31 lagi kertas siasatan berkait kempen PRU15 dibuka

Polis kesan empat ceramah politik tanpa permit di Johor, Perlis

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 31 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan yang berkaitan dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, ia melibatkan tujuh kertas siasatan di Perak, lima di Kedah, Negeri Sembilan (empat), Johor (empat), Selangor (tiga), Pahang (dua), Kelantan (dua), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Sarawak.

Beliau berkata, antara kesalahan yang disiasat adalah berkaitan perbuatan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik, calon disiasat mengikut Seksyen 427, 436, 505(b) Kanun Keseksaan, dan beberapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, empat individu ditahan, termasuk dua di Johor, yang melibatkan seorang lelaki disyaki membakar khemah di bilik gerakan sebuah parti politik Taman Mutiara di Batu Pahat, dan seorang lagi lelaki di Kluang kerana merosakkan bahan kempen.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, dua lagi yang ditahan, masing-masing di Ipoh, Perak serta Kuching, Sarawak; sedang disiasat berkaitan perbuatan merosakkan poster dan bendera calon parti.

Hazani berkata, pihaknya turut mengesan penganjuran empat ceramah politik tanpa permit iaitu tiga di Johor dan satu di Perlis.

Sebanyak 2,211 permit mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU15 dikeluarkan semalam iaitu Sabah (612), Sarawak (294), Perak (258), Johor (177), Kedah (162), Pahang (138), Selangor (119), Terengganu (102), Kelantan (95), Negeri Sembilan (92), Melaka (76), Pulau Pinang (47), Kuala Lumpur (27) dan Perlis (12).

Sementara itu di KUANTAN, polis Pahang membuka dua kertas siasatan berkaitan PRU15 melibatkan kesalahan merosakkan bendera dan papan iklan milik parti politik dan calon bertanding. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dua kes itu masing-masing dilaporkan berlaku di Felda Lembah Klau, Raub dan Kampung Meranti Nenasi, Pekan.

“Polis menerima laporan bendera dan kain rentang parti dicabut dan dibuang dalam longkang di Raub manakala di Pekan, laporan adalah berkaitan 30 bendera dan satu papan iklan calon Dewan Undangan Negeri Bebar di sepanjang jalan dicabut dan dirosakkan,” katanya.

Kedua-dua kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan, katanya dalam kenyataan hari ini.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button