Berita Utama

PPj perkenal sistem pas bernombor kawal kesesakan bazar Ramadan

Anggota polis turut ditugaskan untuk kawal SOP, keadaan trafik

PUTRAJAYA, 4 Ramadan 1442H, Jumaat – Bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) bazar Ramadan terus dipatuhi, Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini melaksanakan sistem pas bernombor untuk mengawal jumlah pengunjung di bazar berkenaan.
Tinjauan Bernama di bazar Ramadan di Presint 3 di sini mendapati pengunjung berbaris di luar bazar seawal 4.30 petang dan mematuhi arahan seperti memakai pelitup muka dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam bazar.
Bagaimanapun masih terdapat segelintir pengunjung membawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, sedangkan kumpulan usia tersebut tidak digalakkan memasuki kawasan bazar bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali ketika ditemui di bazar berkenaan berkata beliau berpuas hati dengan situasi di dalam dan di luar bazar itu.
“Daripada pemerhatian saya, saya dapati hari ini proses keluar dan masuk pengunjung terurus dan tidak sesak. Saya ada berbual dengan beberapa pengunjung yang sedang beratur, menurut mereka, mereka tidak beratur lama,” katanya.
Beliau berkata buat masa  ini lapan anggota polis ditugaskan memantau pematuhan SOP manakala empat anggota ditugaskan bagi mengawal keadaan trafik di sekitar bazar.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Noor Sita Abbas berkata sebanyak 800 pas bernombor disediakan dengan 400 masing-masing di dua pintu masuk bazar .
“Idea untuk menyediakan pas ini adalah hasil pemantauan sejak hari pertama Ramadan. Kami dapati pengunjung agak sesak. Maka dengan adanya sistem ini, nampak lancar dan kurang kesesakan di dalam bazar,” katanya.
Bagi memantapkan tahap pematuhan SOP, Noor Sita berkata kira-kira 30 anggota penguat kuasa PPj ditugaskan yang turut dibantu anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan pihaknya membuat pengumuman mengenai pematuhan SOP setiap 30 minit.
Terdapat 160 gerai di tapak bazar itu dan bilangan pengunjung boleh mencecah 20,000 setiap hari.
Di KUANTAN, warga emas berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak tujuh tahun ke bawah tidak dibenarkan berkunjung ke bazar Ramadan mulai hari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda.
Tinjauan Bernama di bazar Ramadan Jalan Beserah, Kuantan mendapati anggota Rela mengawal ketat kemasukan pengujung dengan membenarkan kemasukan kira-kira 60 orang pada satu-satu masa mengikut sistem bernombor. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button