Artikel KhasPendapat

PRU15 dan jalan menuju Putrajaya, apa umat Islam dapat?

Agenda liberal, fenisme tetap berkembang, orang Melayu masih berselisih

PRU15 telah melabuhkan tirainya setelah menjadi perhatian dunia selama hampir tiga minggu. Ketika status ini ditulis, keputusan pilihanraya sudah keluar tetapi negara masih belum mempunyai barisan kepimpinan yang dilantik. Pihak Istana Negara juga belum membuat pengesahan rasmi tentang pihak manakah yang akan dipertanggungjawabkan untuk membentuk kerajaan.

Saluran-saluran TV sibuk dengan siri-siri analisa mengenai keputusan pilihanraya dan untuk minggu-minggu berikutnya, kita akan dihidangkan pelbagai pentafsiran dan rumusan tentang kemenangan atau kekalahan sesuatu gabungan blok politik atau pencapaian calon-calon yang bertanding.

Sebagaimana adat bertanding, sudah tentu akan ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah.

Bagaimanapun, terdapat satu senario menarik yang pada pandangan saya akan turut diperkatakan atau menjadi topik-topik perbincangan rakyat jelata untuk satu tempoh yang panjang.

Senario yang dimaksudkan ialah tentang jurang yang sangat besar antara hasrat dan mandat rakyat dengan perlantikan Perdana Menteri dan pembentukan sebuah kerajaan. Di satu pihak, sepanjang dua minggu tempoh berkempen, rakyat dihidangkan dengan 1001 cara dan kaedah mempengaruhi minda dan memenangi hati yang dilancarkan oleh parti-parti politik yang bertanding.

Masing-masing blok atau gabungan politik telah cuba meyakinkan rakyat dan pengundi bahawa merekalah pilihan terbaik untuk kestabilan dan masa depan negara. Tiga blok utama, iaitu  arisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan harapan (PH) dan juga banyak parti lain saling berlumba-lumba untuk memenangi kerusi yang terbanyak bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Secara ringkasnya, PRU15 adalah perlumbaan dan persaingan antara 3 blok politik utama negara, dan masing-masing blok dianggotai oleh beberapa parti politik yang mempunyai agenda dan prinsip perjuangan yang tidak sama dan tidak sehaluan.

PRU15 kali ini turut “menghadiahkan” satu kejutan di mana UMNO (blok BN) telah ditolak sama sekali oleh gelombang suara dan undi rakyat, begitu juga dengan calon-calon dari  PKR dan PAN.

Ramai pimpinan politik negara juga turut ‘ditumbangkan’ termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebahagian para pengundi juga menolak calon-calon DAP yang dianggap mewakili parti yang anti-Melayu, anti-Islam dan amat cauvinis. Calon-calon Melayu dari PKR, PAN dan Muda (blok Pakatan Harapan) dianggap bersekongkol dengan DAP dan mereka turut dihukum melalui tangan rakyat di kotak-kotak undi.

Manakala blok politik yang baru iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) yang calon-calon mereka bertanding atas tiket parti Pejuang telah hilang deposit.

Sekarang, seluruh dunia sedang menunggu penuh debaran tentang pihak yang mana satukah di antara gabungan politik dari PN dan PH yang akan memerintah negara dan menjadi Perdana Menteri.

Apa yang disebut sebagai ‘tsunami Melayu’ bukanlah satu gelombang besar sebenarnya. Tidak ada apa-apa yang berubah di kalangan orang-orang Melayu.

Yang tersingkap adalah para pengundi tidak termakan atau dicandukan lagi dengan retorik atau slogan politik yang meloyakan.

Yang berubah hanyalah percaturan politik yang digerakkan oleh pemimpin-pemimpin parti.

Yang terang ialah perbelanjaan yang mencurah-curah pada kadar yang sangat luarbiasa dari para penaja dan pendana calon-calon yang bertanding.

Yang dikhianati dan dipermainkan adalah rakyat biasa khususnya para pengundi Melayu-Muslim!

Hakikat permainan dan percaturan politik demi kuasa, jawatan dan ‘takhta’ sangat jelas selepas tamatnya pilihanraya dan bermulanya proses untuk melantik Perdana Menteri.

Bagaikan sungai yang memuntahkan segala ampah, kekotoran, bangkai dan kereputan flora dan fauna yang terbenam di dasarnya setelah berlaku banjir besar, demikian jugalah gambaran pada wajah politik kuasa, yang kita tidak dapat mengesaninya ketika cuaca tenang.

Pada ketika inilah rakyat dan pengundi dikejutkan dengan hakikat bahawa pilihan raya di Malaysia hanyalah satu mekanisme untuk melanjutkan hayat dan kerjaya politik seseorang pemimpin.

Ia bagaikan sebuah pasar yang barang-barang dagangannya berupa nilai, harga diri, maruah, akhlak dan prinsip yang boleh dijualbeli melalui proses tawar-menawar melibatkan harga yang begitu murah sekali.

Rakyat yang membuat pilihan untul diwakili oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa, yang anti kepada kebobrokan rasuah dan salahguna kuasa mendapati ‘pemimpin’ yang mereka baru saja diberikan mandat untuk tempoh lima tahun lagi tiba-tiba dan tanpa berasa berdosa tergamak mengkhianati kepercayaan rakyat dan para pengundi.

Kumpulan oportunis dan gila kuasa ini dengan selamba sahaja boleh ‘berunding’ dengan pihak-pihak yang baru sahaja tiga minggu sudah merupakan ‘musuh’ politik mereka untuk ‘menutup sebelah mata’ terhadap gejala rasuah, salahlaku dan penyelewengan kuasa.

Sentimen agama dan sensitiviti umat Islam diperalatkan untuk mendapatkan undi tetapi unsur-unsur inilah yang pertama sekali dikorbankan apabila ketamakan kuasa dan survival politik yang didorong hawanafsu menjadi penentu di dalam proses rundingan dan tawar menawar politik mereka.

Calon dan parti yang diharapkan untuk membawa dan mempertahankan agenda Islam dan kepentingan umat Islam boleh berlaku curang.

Justeru itulah, umat Islam dan bangsa Melayu tidak boleh terlalu ghairah dengan ‘tsunami Melayu’ ini.

Rakyat dan para pengundi tidak memilih parti PAS misalnya kerana yakin dengan ideologi parti tersebut, tetapi disebabkan mereka sudah muak dengan kegilaan pemimpin-pemimpin politik yang membelakangi kepentingan, penderitaan dan keperitan yang dialami rakyat.

Mereka menolak parti UMNO kerana parti itu sudah sebati dengan amalan rasuah dan pemimpin yang korup.

Mereka juga tahu bahawa PKR hanyalah nama lain kepada kehalobaan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Para pengundi bukan-Melayu pula lebih suka meletakkan harapan kepada parti DAP yang dianggap menjuarai kepentingan mereka.

Maka, berlakulah peralihan sokongan rakyat daripada Barisan Nasional kepada Perikatan Nasional dalam keadaan kerusi-kerusi Parlimen DAP tidak terjejas sedikit pun.

Sudah semestinya di sebalik setiap kemenangan akan sentiasa ada harga mahal yang perlu dibayar. Tidak ada yang percuma lebih-lebih lagi di atas ‘meja pertaruhan’ politik.

Berikut adalah beberapa catatan kasar yang boleh diperhatikan:

Parti-parti politik yang bertanding dalam PRU15 tidak ‘bersalin kulit’ selepas usainya pilihanraya. Agenda, prinsip dan dasar masing-masing tetap sama. Unsur-unsur inilah yang akan menonjol di dalam mana-mana rundingan di kalangan mereka.

Persetujuan di kalangan mereka utuk duduk berunding dan ‘berkongsi kuasa’ tidak menjadikan mereka sebagai parti yang ‘suci’ dan bersih dari noda-noda politik.

Parti-pati rasis cauvinis tiga serangkai iaitu DAP, MCA dan Gerakan tetap konsisten dalam menuntut dan mempertahankan kepentingan bersama mereka. Malah, sekarag mereka akan semakin galak dan ghairah untuk mengaut lebih banyak keuntungan politik dalam konteks perkembangan terkini.

Sokongan terhadap parti DAP contohnya tetap tidak berkurang. Malah parti ni cuba meluaskan lagi pengaruh mereka dengan meletakkan calon-calon Melayu untuk bertanding .

PRU15 tidak menyebabkan sekolah-sekolah vernakular dikuburkan. Tidak ada mana-mana parti atau pihak yang berkuasa di Putrajaya akan berani meyentuh ‘kekebalan’ institusi dan sistem pendidikan ini.

Agenda liberal, feminisme, sekular, hedonism dan seumpamanya tetap berkembang.

Ketaksuban para pengikut, keangkuhan dan kesombongan para pemimpin masih berlaku.

Rakyat Sabah dan Sarawak mungkin meletakkan beberapa syarat khusus sebagai balasan kepada sokongan mereka terhadap sesiapa yang bakal menjadi Kerajaan Pusat.

Umat Islam dan bangsa Melayu tetap berselisih sesama mereka. Kekuatan yang didambakan melalui kesepakatan akan sentiasa menghindar dari tangan mereka.

Apa yang umat Islam dan bangsa melayu dapat kecapi sebenarnya dari PRU15 kali ini?

Bagi yang peka dan sedar, PRU15 kali ini pada hakikatnya merupakan satu ‘madrasah politik’ untuk rakyat, di mana tempoh ‘pengajian’ yang dilalui adalah selama tiga minggu sahaja.

Sepanjang ‘kursus’ ini umat dan bangsa didedahkan dengan gambaran bahawa perpaduan dan kesepakatan tidak akan terhasil dari percaturan politik kepartian.

Kekuatan juga tidak dapat diwujudkan melalui kerjasama dan tolak ansur yang berpaksikan dorongan hawa nafsu dan kegelojohan untuk berkuasa.

Sepanjang pemerhatian saya, keberadaan parti-parti Melayu Islam alternatif seperti Berjasa dan juga gabungan Gerakan Tanah Air adalah satu kesempatan untuk menzahirkan kesepakatan dan kekuatan yang bersifat nasional dan berkekalan. Cita-cita untuk menyatupadukan seluruh umat Islam di bawah satu agenda milik bersama tidak pernah berhasil sebelum ini.

Gagasan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) yang dipelopori oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada peringkat awalnya dicemuh dan diremehkan.

Berjasa kemudiannya muncul dengan keberanian menongkah arus pada PRU13 bersama-sama slogan Undi Calon Muslim Berwibawa yang cuba menyedarkan umat Islam bahawa mandat mereka bukanlah sesuatu yang boleh diperdagangkan oleh ahli-ahli politik.

UMNO dan PAS memang tidak berminat sedikitpun slogan ini, apatah lagi menghayatinya pada ketika tu.

Berjasa juga sekali lagi cuba merintis jalan untuk mengujudkan kesepakatan politik di kalangan parti-parti politik Melayu/Islam melalui gagasan Muafakat Nasional yang juga telah ditolak.

Pada PRU15 kali ini, setiap parti politik yang bertanding tampil sebagai ‘juara’ yang memperjuangkan Kesepakatan Melayu, menonjolkan calon berwibawa dan terkini cuba mencipta ‘Muafakat Nasional’ melalui rundingan politik, yang dahuunya mereka telah tolak mentah-mentah.

Negara memerlukan satu suara yang menyeru kepada kesepakatan, kerjasama, kekuatan dan persaudaraan sesama umat dan bangsa.

Parti-parti politik Melayu Islam juga perlu kepada laungan yang menegur dan mengkritik dari luar, supaya ketaksuban pengikut dan kesombongan pemimpin tidak menjahanamkan masa depan generasi akan datang.

Suara dan laungan ini perlu lahir dari ‘jantung’ umat dan bangsa, bukan dari bilik-bilik mesyuarat atau meja rundingan parti-parti politik.

PRU15 telah mengajar kita bahawa jalan menuju kesepakatan dan kekuatan sejati masih panjang.

Jangan kita sekadar menang sorak tapi kampung tergadai.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

#MalaysiaUnggulDanBerwibawa

#MelayuSepakatIslamBerdaulat

#MembangunUmatBeragenda

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button